SARBINI dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, semalam.
Oleh Mohd Hilmie Hussin

Melaka: Seorang lelaki warga Indonesia dijatuhi hukuman penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, Melaka, di sini, semalam, apabila dia mengaku bersalah menggunakan MyKad palsu sejak 15 tahun lalu.

Identiti sebenar tertuduh terbongkar dan dia ditangkap ketika cuba memperbaharui MyKad di kaunter Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Ayer Keroh, Isnin lalu.

Tertuduh, Sarbini Tirali, 55, berasal dari Bali, yang bekerja sebagai buruh binaan di sekitar Daerah Melaka Tengah mengaku bersalah di hadapan Majistret Mohd Asri Abdul Rahman Sidik, selepas faham dengan pertuduhan terhadapnya yang dibacakan jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Sarbini didakwa memiliki MyKad berstatus Pemastautin Tetap yang mengandungi maklumat palsu atas nama Rahmat Ali, yang tertera alamat Batu 4 1/2 Jalan Johor, 86200 Simpang Renggam, Johor, pada jam 4.30 petang, Isnin lalu, di Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan, JPN Melaka.

Berikutan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Peraturan 25(1)(e) Akta Pendaftaran Negara 1959 dan Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 (Pindaan 2007), yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun atau denda hingga RM20,000, atau kedua-duanya sekali.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditangkap memiliki MyKad palsu ketika cuba memperbaharui MyKad berstatus Pemastautin Tetap yang mengandungi maklumat palsu atas nama Rahmat Ali, dengan nombor kad pengenalan 601015-12-5679 beralamat di Simpang Renggam, Johor.

Hasil siasatan mendapati, nombor kad pengenalan terbabit milik Guatin @ Peterus Bin Inung, malah padanan cap jari dibuat ke atas tertuduh juga tidak sepadan. Tertuduh kemudian mengakui dirinya adalah Sarbini Bin Tirali, berumur 55 tahun berasal dari Kampung Mataram, Bali.

Terdahulu, ketika prosiding berlangsung, Pegawai Pendakwa JPN, Mohd Nasrom Yusof, mencadangkan kepada mahkamah agar mengenakan hukuman berat ke atas tertuduh supaya menjadi pengajaran kepada pendatang lain di negara ini.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon hukuman terhadapnya diringankan kerana memberi kerjasama selain mempunyai anak serta isteri di Mataram yang perlu ditanggung.

Selain itu, tertuduh merayu hanya dikenakan hukuman penjara kerana tidak mempunyai wang untuk membayar denda yang ditetapkan mahkamah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 November 2015 @ 12:07 PM