Mahdzir Khalid (tengah) bersalaman dengan Presiden LAMAP, Dr Daniel Rouan, semalam ketika melawat pejabat LAMAP.
Oleh Johari Ibrahim

Paris: Gelombang Kedua Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 memberi penekanan kepada usaha peningkatan profesionalisme guru bagi menghasilkan pendidikan berkualiti.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr Khair Mohamad Yusof berkata, Gelombang Kedua PPPM yang akan bermula tahun depan untuk tempoh sehingga 2020.

Katanya, kertas cadangan mengenai peningkatan profesionalisme guru itu disiapkan dan akan diumumkan selepas kelulusan menteri.

“Dalam ucapan pernyataan dasar Menteri Pendidikan pada sesi Perbahasan Dasar Umum UNESCO, beliau menyentuh mengenai keperluan mempunyai pendidikan berkualiti.

“Ia membabitkan sistem pendidikan yang memberi akses untuk semua dan in-
klusif untuk semua kumpulan,” katanya.

Beliau berkata perbincangan dengan Pengarah Direktorat Pendidikan dan Kemahiran Organisasi Kerjasama Ekonomi dan Pembangunan (OECD), Andreas Schleicher serta pegawai pertubuhan itu, di sini memberi input berguna untuk kementerian melaksanakan usaha meningkatkan profesion profesionalisme kerjaya keguruan.

Khair berkata, Kementerian Pendidikan mempunyai kerjasama dalam dua program bersama OECD, organisasi penting dalam bidang pendidikan antarabangsa iaitu mengenai Program Antarabangsa Pentaksiran Pelajar (PISA) dan pembangunan guru.

Katanya, dalam perbincangan itu, OECD berpandangan kementerian berada pada landasan betul dalam program pembangunan guru seperti mewujudkan Piagam Guru, Piagam Pemimpin serta program latihan dalam PPPM.

Justeru, katanya, penumpuan selepas ini dengan penelitian kepada input yang diberikan OECD akan diberikan kepada penghasilan satu rangka kerja pembangunan profesionalisme guru yang lebih komprehensif dan mantap di Malaysia.

Khair berada di sini mengiringi Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid ke Persidangan Agung ke-38, Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 November 2015 @ 8:28 AM