AHLI Jiran Wanita dari KRT Bandar Jertih berganding tenaga mengacau bubur asyura.

Jertih: Komuniti kaum Cina di Besut dianggap unik kerana mengamalkan budaya hidup sama seperti masyarakat Melayu.

Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Bandar Jertih yang mempunyai ahli kaum Cina antara yang mengikut budaya orang Melayu apabila turut mempamerkan kebolehan dan kesepakatan menyertai pertandingan membuat bubur asyura diadakan di pekarangan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih, kelmarin.

Pertandingan anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Jertih dan Parlimen Besut itu menarik perhatian pengunjung kerana peserta yang membabitkan kaum Cina itu turut mengenakan pakaian kain batik ketika menyertai kerja gotong-royong memasak bubur asyura.

Pertandingan Asyura Perdana TTB itu juga disertai 100 kumpulan yang mewakili Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), badan bukan kerajaan (NGO), jabatan dan agensi Kerajaan serta syarikat korporat.

Pengerusi Jiran Wanita KRT Bandar Jertih Teo Huey Lan berkata, ahli kumpulan itu sering mengambil bahagian dalam aktiviti kemasyarakatan termasuk membuat bubur asyura yang dianjurkan di sekitar daerah Besut

Menurutnya, masyarakat Cina di bandar Jertih yang mengamalkan budaya hidup Melayu tidak berasa kekok untuk menyertai program itu kerana sudah lama bergaul dan memahami cara hidup orang Melayu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 9:21 AM