NUR Hanis menunjukkan sijil diterima kepada ibu dan bapanya.

Permatang Pauh: Minat mendalam dalam bidang Kejuruteraan Elektrik menjadi pembakar semangat kepada Nur Hanis Ahmad Rahim sehingga merangkul Anugerah Graduan Terbaik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Pulau Pinang pada Istiadat Konvokesyen UiTM ke-83, semalam.

Nur Hanis, 21, yang menerima Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 3.97.

Lebih manis lagi, dia diumumkan pelajar terbaik program dan fakulti peringkat UiTM Pulau Pinang serta pelajar terbaik program dan fakulti seluruh UiTM.

Anak ketiga daripada empat beradik itu berkata, minat mendalam dan sokongan kuat bapa, Ahmad Rahim Saring, 58, dan ibunya, Mariana Mukri, 57, serta keluarga menjadi pendorong utama dia terus berjaya.

“Saya pernah berputus asa meneruskan pelajaran dalam bidang ini kerana pelajaran agak susah, tetapi akhirnya saya terus berusaha untuk capai yang terbaik.

“Tiada rahsia kejayaan saya kecuali sentiasa bertanya pada pensyarah dan rakan jika kurang faham,” katanya yang sedang mengikuti pengajian peringkat Ijazah dalam bidang sama di UiTM Shah Alam.

Nur Hanis berkata, dia bercita-cita menjadi pensyarah dan memilih UiTM sebagai tempat untuk mencurahkan baktinya apabila tamat pengajian kelak.

“Ibu dan ayah bekerja sebagai guru dan dari situ minat saya menjadi pendidik menebal dalam diri. UiTM berjaya mendidik saya dan saya akan balas jasa UiTM pada masa depan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 November 2015 @ 10:22 AM