Jamaludin bersama sebahagian piala kemenangan hasil kejayaan burung tekukur miliknya.
Jamaludin bersama sebahagian piala kemenangan hasil kejayaan burung tekukur miliknya.
Oleh Ahmad Rabiul Zulkifli

Chukai: Burung tekukur milik seorang lelaki dari Kampung Bukit Kuang, di sini, dianggap paling merdu suaranya di Asia berikutan unggas yang digelar JJ itu memenangi Pertandingan Suara Burung Terbuka Asia sempena Hari Kebangsaan 2015 di Kelantan, baru-baru ini.

Lebih cemerlang apabila JJ yang dibeli dengan harga RM8,000 mencipta banyak kejayaan apabila kerap menjadi juara pada pertandingan suara burung dianjurkan di seluruh negara termasuk di Melaka, Kuala Lumpur dan Johor.

Bukan hanya JJ yang mampu mencipta nama, malah seekor lagi tekukur yang diberi nama Laila tidak kurang hebatnya apabila mempunyai rekod kemenangan kategori C sebanyak 50 kali termasuk juara di Pertandingan Suara Burung Terbuka Antarabangsa di Yala, Thailand, tahun lalu.

Memiliki lebih 300 burung tekukur dan ketitir berkualiti tinggi termasuk JJ dan Laila menyebabkan pemiliknya, Jamaludin Tawang, 50, atau lebih mesra dipanggil Pok Jamal mendapat perhatian daripada peminat burung di negara ini dan Thailand sebagai Raja Suara Burung Tekukur Asia.

Pok Jamal berkata, dia bergiat dalam hobi memelihara burung tekukur dan ketitir sejak 1990, tetapi aktif secara serius menyertai pertandingan suara burung sejak dua tahun lalu.

“Sejak memiliki JJ dan Laila, saya menjelajah ke seluruh pertandingan yang dianjurkan di negeri ini dan semua penyertaan dua burung kesayangannya tidak pernah menghampakan dan sering menjadi johan bagi kategori masing-masing.

“Bukan saja JJ dan Laila yang mencipta nama, malah semua burung tekukur milik saya pernah menyapu bersih tiga tangga teratas pertandingan iaitu johan, naib johan dan ketiga,” katanya yang mengusahakan ladang kelapa di Cheneh, di sini.

Menurutnya, sehingga kini, dia membelanjakan RM70,000 untuk memperoleh burung terbaik, selain mengurus dan membiakkan burung tekukur di ladangnya sejak setahun lalu.

“Hasil usaha membiak burung tekukur berkualiti, saya mampu menjual sepasang burung tekukur berusia dua bulan dengan harga RM2,500 dan burung dewasa antara RM2,500 hingga RM3,000 seekor bergantung kepada kualiti suara mereka.

“JJ pernah ditawarkan dengan harga RM25,000 oleh peminat burung dari Singapura, selain menerima tawaran RM40,000 untuk tiga ekor tekukur termasuk JJ dan Laila,” katanya.

Menurutnya, dia tidak akan menjual burung kesayangannya walaupun ditawarkan dengan harga tinggi kerana dua burung itu sentiasa membuatkan dirinya bangga setiap kali menyertai pertandingan.

“Paling tidak dapat dilupakan apabila JJ dan Laila menewaskan burung tekukur dari Thailand dan Singapura yang berharga lebih RM150,000,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 November 2015 @ 7:25 AM