SUSPEK kes culik dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya untuk mendapat perintah tahanan reman semalam.
Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Seorang ahli perniagaan wanita yang juga adik jutawan bergelar Tan Sri diculik sekumpulan penjenayah sebelum suspek meminta wang ‘tebus nyawa’ sebanyak RM10 juta.

Mangsa berusia 62 tahun itu yang memegang jawatan sebagai pengarah eksekutif syarikat hartanah terkemuka diculik sekumpulan penjenayah di Kelana Jaya, Petaling Jaya pada 10 November lalu.

Sumber berkata, penjenayah melarikan mangsa sebelum mengurung wanita itu di sebuah rumah sekitar ibu kota selama enam hari.

“Difahamkan suspek menghubungi ahli keluarga mangsa sebelum menuntut wang tebusan RM10 juta.

“Bagaimanapun keluarga mangsa meminta jumlah itu dikurangkan sebelum suspek bersetuju dengan bayaran RM2 juta,” katanya.

Menurutnya, keluarga mangsa membayar wang diminta sebelum mangsa dibebaskan pagi kelmarin.

“Sejurus mangsa dibebaskan, polis yang menerima laporan melakukan operasi sebelum menahan 14 suspek termasuk empat wanita.

“Mereka ditahan dalam beberapa serbuan dalam tempoh kurang 24 jam. Semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Petaling Jaya semalam untuk mendapat perintah reman,” katanya.

Dia berkata, semua suspek warga tempatan itu disiasat dan diambil tindakan mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan atas jenayah culik.

“Berdasarkan siasatan, kejadian culik itu tidak bermotifkan dendam atau perselisihan peribadi. Ia lebih bermotifkan wang.

“Ada antara suspek yang ditahan itu mempunyai rekod jenayah. Setakat ini polis menemui semula wang tebusan berjumlah RM2 juta itu,” katanya.

Menurutnya, difahamkan mangsa tidak dicederakan sepanjang tempoh dikurung penjenayah.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 November 2015 @ 6:00 AM