PELAJAR menghafaz al-Quran pada program Tahfiz Model Ulul Albab di SMKA Kuala Lumpur, Kuala Lumpur.
Oleh Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Program Tahfiz Model Ulul Albab (TMUA) yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan pada 2014 mampu melahirkan pelajar seimbang iaitu cemerlang dalam akademik dan ilmu keagamaan.

Menariknya, pelajar yang menyertai program TMUA di sekolah menengah terpilih turut berpeluang mengikuti pembelajaran bahasa ketiga seperti Perancis manakala Mandarin akan diajar dalam masa terdekat.

Pakej lengkap diadun dalam program ini adalah bersesuaian dengan hasrat Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025 dalam melahirkan modal insan holistik serta serba boleh dalam pelbagai aspek.

Setakat ini ia dilaksanakan secara menyeluruh di dua Sekolah Berasrama Penuh (SBP) dan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) seluruh negara dan bakinya lapan akan dijalankan berperingkat sehingga 2017.

Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) Wan Ramdzan Wan Mamat berkata, TMUA adalah sebahagian daripada kurikulum kebangsaan yang diperkenalkan kementerian bertujuan melahirkan golongan profesional dan cendikiawan agama yang hafiz al-Quran.

“Dalam PPPM 2013-2025, kementerian komited menyediakan pendidikan agama berkualiti tinggi bagi melengkapkan pelajar dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran yang relevan untuk berjaya dalam pasaran kerja berasaskan nilai Islam kukuh.

“Justeru, konsep TMUA menggabungkan Kurikulum Kebangsaan, Kurikulum Bersepadu Tahfiz (KBT) dan Kokurikulum Khas menggunakan tiga pendekatan iaitu Quranik, Ensiklopedik dan Ijtihadik,” katanya.

Beliau berkata, TMUA menggunakan Kurikulum KBT dan model tersendiri merangkumi mata pelajaran Hifz al-Quran iaitu menghafaz 30 juzuk berdasarkan sukatan tertentu mengikut tingkatan masing-masing serta memahami makna ayat al-Quran yang dihafaz.

“Selain itu, satu lagi mata pelajaran ialah Maharat al-Quran merangkumi Tilawah al-Quran, Tajwid, Adab al-Quran, Manhaj al-Qiraat, Amali Qiraat dan Rasm Uthmani.

“TMUA menggunakan kaedah pentaksiran sedia ada di peringkat sekolah menengah dan dilaksanakan mengikut KBT di mana Lembaga Peperiksaan akan membangunkan Dokumen Standard Prestasi (DSP) dan instrumen pentaksiran bagi KBT ini.

“Di samping itu, pelajar juga berpeluang menyertai aktiviti seperti renang, memanah, robotik, ekuestrian, avionik dan fotonik selain mengamalkan makanan sunnah seperti kismis, madu dan susu untuk meningkatkan daya ingatan,” katanya.

Sementara itu, Pengetua SMKA Kuala Lumpur Kamarul Ariffin Mohd Sharif berkata, pelaksanaan TMUA memberi peluang kepada ibu bapa menghantar anak mereka ke sekolah di bawah KPM yang menyediakan kurikulum tahfiz dan akademik dalam satu masa.

“Jika sebelum ini pilihan ibu bapa yang mahukan anak mereka menjadi huffaz tidak banyak dan perlu menghantar ke sekolah swasta atau sekolah di bawah kerajaan negeri saja tetapi di sini kita menyediakan modal insan bukan saja mahir bidang sains, teknologi atau akademik semata-mata tetapi penghafaz al-Quran mahir.

“Pelajar di sini, menggunakan kurikulum sama seperti pelajar arus perdana cuma tambah hafazan al-Quran selain menjalani tempoh PdP yang panjang antara jam 6.30 pagi hingga 4.20 petang setiap hari.

“Mereka diajar guru bertauliah menggunakan pendekatan menghafaz dengan menulis ayat al-Quran terlebih dahulu, mengulang ayat hafazan sambil memperkukuhkan bacaan sebelum memperdengarkannya di hadapan guru secara individu,” katanya.

Bagi Saiful Hadi Baharin, 13, antara pelajar termuda sekolah itu yang berjaya menghafaz 18 juzuk al-Quran sejak memasuki sekolah berkenaan pada awal tahun ini.

“Semasa di rumah saya ada juga menghafaz al-Quran, tetapi apabila memasuki sekolah ini saya lebih sistematik dan masa saya sentiasa terisi dengan menghafaz.

“Bagi saya, model ini memang bagus kerana banyak membantu dan meningkatkan teknik hafazan saya berbanding dulu. Saya nekad akan menamatkan 30 juzuk pada tahun depan, insyaAllah,” katanya.

Zarith Batrisyia Rohaizam, 14, yang berhasrat menjadi saintis pula berkata, seorang huffaz perlu pandai membahagikan masa dengan bijak dan adil.

“Belajar dan hafazan adalah dua perkara yang berbeza. Kita tak boleh campur adukkan dua perkara dalam satu masa. Masa belajar fokus pada belajar dan begitulah juga dengan menghafaz.

“Jika saya mengalami tekanan, saya akan baca al-Quran untuk tenangkan diri. Selain itu, saya juga menjaga pemakanan dengan mengelak makanan masam dan perasa serta mengamalkan susu, kismis dan madu untuk daya ingatan kuat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 6:19 AM