YAP menunjukkan tangannya yang cedera selepas dirempuh seekor babi hutan.
YAP menunjukkan tangannya yang cedera selepas dirempuh seekor babi hutan.

Georgetown: Tindakan seorang wanita menegur sekumpulan kanak-kanak yang mengganggu seekor babi hutan mengundang padah apabila dia pula yang disondol haiwan berkenaan di Jalan Persiaran Karpal Singh, semalam.

Bagaimanapun, dalam kejadian jam 10 pagi, mangsa, Yap Poh Rui, 30, bernasib baik kerana hanya cedera ringan di siku dan dibawa ke hospital oleh penduduk setempat.

Menurut sumber, ketika kejadian, wanita terbabit yang bekerja sebagai setiausaha bersama rakannya membonceng basikal di kawasan berkenaan.

“Memang sudah menjadi kebiasaan mangsa akan berbasikal di kawasan itu setiap pagi bersama rakannya, namun semalam dia terserempak dengan sekumpulan kanak-kanak yang mengganggu babi hutan berkenaan dengan mencucuk haiwan itu menggunakan kayu.

“Mangsa kemudian memberhentikan basikalnya dan menghampiri kanak-kanak terbabit untuk menghalang perbuatan mereka. Bagaimanapun, belum sempat dia turun, secara tiba-tiba haiwan itu terus menyerangnya,” kata sumber itu.

Sumber itu berkata, mangsa kemudian terus rebah dan rakannya yang menyaksikan kejadian itu meminta pertolongan daripada penduduk setempat yang kemudian merawat lukanya.

“Babi hutan berkenaan dipercayai sesat dan selepas menyerang mangsa, haiwan itu memasuki kawasan semak berhampiran.

“Bagaimanapun, beberapa penduduk terus menghubungi Jabatan PERHILITAN (Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) yang kemudian terpaksa menembak haiwan itu kerana ia agak agresif,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 5:04 AM
Digital NSTP Subscribe