Mutalib (kiri) bersama Rosli melakukan aktiviti larian serta senaman di Taman Rekreasi Bukit Serindit saban hari.
Mutalib (kiri) bersama Rosli melakukan aktiviti larian serta senaman di Taman Rekreasi Bukit Serindit saban hari.
Oleh Norfaisal Jahuri

Melaka: Usia mereka sudah lebih 60 tahun, namun Mutalib Ibrahim, 66, dan Rosli Ramlan, 63, masih mempunyai tahap kecergasan yang tinggi dan mampu berlari pada jarak lapan kilometer (km) tanpa henti, malah Mutalib masih aktif menyertai maraton untuk melepaskan gian berlari.

Mutalib berkata, walaupun sudah menjangkau usia emas, dia masih mampu menyertai maraton 42km dan lebih membanggakan menghabiskan lariannya sehingga ke garisan penamat.

Pesara kerajaan itu berkata, sejak kebelakangan ini dia hanya mampu menyertai acara separuh maraton iaitu jarak larian 21km kerana faktor usia dan kesihatan.

Katanya, dia mula aktif berjoging dan menyertai maraton sejak berusia 30-an dan melakukan aktiviti fizikal itu secara konsisten pada setiap hari selepas bersara 10 tahun lalu.

“Saya bersyukur kerana diberikan kecergasan dan mampu berlari tanpa henti pada jarak lapan hingga 10km dalam masa 50 minit atau satu jam. Jika mempunyai masa terluang pada hujung minggu, saya akan memanjangkan jarak larian sehingga 15km namun ia bergantung kepada keupayaan saya.

“Tidak ada rahsia untuk kekal cergas, saya cuma melakukan larian dan bersenam secara konsisten pada setiap hari sejak bersara,” katanya ketika ditemui di Taman Rekreasi Bukit Serindit.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 November 2015 @ 6:24 AM