NAZLI memeriksa kenderaan klon yang dirampas Jabatan Pengangkutan Jalan.
NAZLI memeriksa kenderaan klon yang dirampas Jabatan Pengangkutan Jalan.
Oleh Khairul Najib Asarulah Khan

Seremban: Terlalu ghairah untuk tampil bergaya menggunakan kereta mewah mendorong seseorang sanggup membeli kenderaan klon melalui sindiket yang menawarkan harga jauh lebih murah dari pasaran.

Difahamkan, kenderaan mewah Toyota Estima, Mitsubishi Gandis serta Honda Oddyssey hanya boleh dibeli pada harga antara RM5,000 sehingga RM15,000.

Mendedahkan perkara itu, Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan Nazli Md Taib berkata, kebanyakan kenderaan klon diseludup masuk dari Singapura berikutan undang-undang negara terbabit mengehadkan kenderaan dalam tempoh tertentu.

Beliau berkata, JPJ mengesan peningkatan kenderaan klon di negeri ini berikutan permintaan tinggi, selain tidak mampu membeli kereta mewah yang sah.

“Melalui risikan dijalankan sejak awal tahun hingga Isnin lalu, JPJ mengesan 13 kenderaan klon dengan satu daripadanya milik seorang penjawat awam.

“Antara kenderaan dirampas adalah Honda Oddyssey empat, Toyota Vios (5), Mazda 6 (1), Toyota Wish (1), Toyota Estima (1) dan Mitsubishi Gandis (1),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelelongan Awam Kenderaan Sita Siri 2, 2015 di JPJ, Negeri Sembilan, di sini, semalam.

Menurutnya, daripada jumlah itu tiga daripadanya diserahkan kepada kastam manakala bakinya dalam siasatan dan proses mahkamah.

“Sebenarnya pembeli kenderaan klon berdepan masalah ketika memperbaharui cukai jalan berikutan rekod kenderaan terbabit tiada dalam sistem JPJ atau terdapat nombor pendaftaran sama.

“Mereka (pemilik) boleh disabitkan kesalahan mengikut Seksyen 7 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 disebabkan memiliki kenderaan tidak berdaftar, Seksyen 108 APJ 1987 kerana mempamerkan nombor kenderaan palsu, Seksyen 15 (1) APJ 1987 disebabkan tiada Lesen Kenderaan Motor (LKM) serta Seksyen 90 (1) APJ 1987 kerana tiada insurans kenderaan,” katanya.

“Justeru, bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan, pemilik dinasihatkan tampil ke pejabat JPJ menyerahkan kenderaan klon secara sukarela,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 27 November 2015 @ 6:54 AM