JALAN Lama Sintok yang menjadi tumpuan ramai namun tiada lampu jalan hingga menyukarkan pengguna pada waktu malam.
Oleh Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


Bukit Kayu Hitam: Keadaan Jalan Lama Sintok, dekat sini, yang gelap disebabkan ketiadaan lampu jalan amat berbahaya terhadap keselamatan pengguna jalan raya terutama pada waktu malam kerana ia boleh mengakibatkan berlaku kemalangan.

Malah, penduduk mendakwa kawasan itu kerap berlaku kemalangan sekurang-kurangnya empat kes dalam tempoh sebulan sehingga menyebabkan penunggang motosikal terpaksa berhati-hati ketika melalui lokasi terbabit.

Penduduk, Norehan Jaafar, 41, berkata jalan itu yang menjadi laluan utama orang ramai ke Sintok atau Universiti Utara Malaysia (UUM) sepatutnya dipasang lampu jalan demi keselamatan pengguna.

Katanya, walaupun terdapat Lebuhraya Utara-Selatan yang menjadi jalan perhubungan ke Sintok untuk memberi kemudahan orang ramai, laluan di jalan lama masih menjadi pilihan penduduk.

“Ia mendatangkan bahaya kepada pelajar yang hendak ke sekolah pada awal pagi kerana keadaan jalan yang gelap menyukarkan penglihatan pemandu dan boleh menyebabkan berlaku kemalangan.

“Justeru, saya amat berharap pihak berkaitan memasang lampu jalan segera bagi kemudahan orang ramai,” katanya.

Penduduk, Sahur Nasir, 60, berkata penunggang motosikal yang menggunakan laluan itu pada waktu malam juga berisiko tinggi terbabit dalam kemalangan kerana sukar melihat sekiranya terdapat lubang di tengah jalan.

Dia yang sering berjalan kaki dari rumahnya ke tempat kerja menggunakan laluan itu terpaksa bergantung pada lampu suluh.

“Setiap hari saya menggunakan jalan ini yang menjadi laluan kenderaan berat kerana ia adalah jalan pintas ke Pekan Changlun.

“Namun, ia mengundang bahaya kepada orang ramai terutama kanak-kanak untuk melintas jalan ke kedai di seberang jalan kerana keadaan yang gelap menyebabkan pemandu kenderaan tidak dapat melihat dengan jelas,” katanya.

Katanya, walaupun terdapat beberapa lampu jalan tapi ia tidak berfungsi menyebabkan mereka tidak dapat menikmati kemudahan terbabit di sepanjang Jalan Lama Sintok ke pekan Changlun.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 November 2015 @ 5:09 AM