PEKERJA restoran masih menyediakan makanan untuk pelanggan di ruang dapur terbuka walaupun diarah tutup JKNS.

Seremban: Sebuah restoran mamak di Dataran Senawang, di sini, dikatakan beroperasi seperti biasa meskipun diarah tutup oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan (JKNS) dan Majlis Perbandaran Seremban (MPS) berikutan gambar tikus berkeliaran yang viral di Facebook.

Susulan itu, pihak terbabit membuat pemeriksaan terhadap restoran berkenaan dan mendapati keadaan premis dan pekerja yang kotor menyebabkan notis arah tutup 14 hari dikeluarkan Rabu lalu.

Bagaimanapun, orang ramai mendapati premis itu beroperasi semula esoknya dan mereka menviralkan semula gambar premis itu dengan rasa tidak puas hati dan mengaitkan pegawai operasi mengambil rasuah.

Tinjauan Harian Metro semalam, mendapati restoran mamak berkenaan beroperasi semula dan terdapat beberapa pelanggan menjamu selera.

Pengarah JKNS, Dr Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi menjelaskan, pemilik restoran itu membuat permohonan untuk pemeriksaan semula dan hasilnya mendapati keadaan premis itu menepati tahap kebersihan 90 peratus.

“Kita menjalankan operasi pemeriksaan Jumaat lalu dan mendapati premis berkenaan menepati tahap kebersihan ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Katanya, JKNS sentiasa memantau dan membuat pemeriksaan mengejut bagi memastikan pemilik premis tidak mengulangi kesalahan.

“Orang ramai juga boleh membuat aduan jika curiga terhadap kebersihan mana-mana premis supaya tindakan dapat diambil,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 5:04 AM