KAKITANGAN MPB dan NSTP bersama penduduk membersihkan persekitaran surau Kampung Bakar Batu, Perling, Johor.

Johor Bahru: Program Suara Komuniti Balai Berita tampil mendekati masyarakat setempat menerusi penganjuran aktiviti gotong-royong mengecat Surau Al-Hijrah Kampung Bakar Batu Perling, di sini, semalam.

Ia antara aktiviti sampingan selepas program pemeriksaan jantung melalui kerjasama Media Prima Berhad (MPB) - Institut Jantung Negara (IJN) Medical Outrech di Tampoi, di sini.

Bermula jam 9 pagi, aktiviti mengecat surau itu disertai 20 anggota Briged Sukarelawan MPB - The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) iaitu 15 sukarelawan dari Balai Berita Bangsar dan lima dari Balai Berita Senai serta kerjasama penduduk.

Ketua Komunikasi Pemasaran NSTP Wan Abdillah Wan Nawi berkata, program bertujuan mengimarahkan surau kawasan terpencil.

“Kami mengadakan gotong-royong ini bersama penduduk membersihkan persekitaran surau ini serta mengecat menggunakan cat sumbangan Jotun (Malaysia) Sdn Bhd bernilai RM2,000.

“Kami menyumbang kanopi bagi kegunaan masyarakat di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 30 November 2015 @ 6:01 AM