Penduduk kampung melihat tanah runtuh di Kampung Enggor iaitu jalan utama yang menghubungkan jalan besar ke Pekan Karai.
Oleh Mohamad Hairi Azmi Tham


Sungai Siput: Hampir 1,000 penduduk dari beberapa kampung terputus hubungan apabila jalan utama berhampiran sebuah jambatan di Kampung Periang Loh, Karai, runtuh kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.30 malam, hujan lebat pada lewat petang menyebabkan tanah berhampiran runtuh sedalam lebih tiga meter.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lintang Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) negeri sudah mengambil tindakan dan buat masa ini, laluan jalan dialihkan ke jalan baru untuk membolehkan penduduk menggunakan jalan di Kampung Perik kira-kira sejauh tujuh hingga 10 kilometer untuk ke pekan Karai.

Menurutnya, pembinaan jambatan baru sudah dibangkitkan penduduk tetapi masih belum ada maklum balas daripada pihak kerajaan.

“Kita berharap jambatan yang begitu bahaya dan sempit dapat dimansuhkan oleh pihak kerajaan. Malah dapat disenaraikan dalam Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11) untuk dibina baru dengan segera dan secepat mungkin bagi kemudahan orang ramai.

“Mungkin dalam sehari dua ini laluan yang runtuh itu boleh digunakan semula,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk kampung, Rosli Ahmad, 55, mendakwa, kejadian tanah runtuh itu sudah tiga kali berlaku membabitkan kawasan sama.

Menurutnya, kejadian pertama berlaku sekitar 1983 diikuti kedua, 1999 dan ketiga pada tahun ini.

“Saya hanya menyedari kejadian tanah runtuh itu selepas dimaklumkan oleh beberapa rakan sekampung. Pada mulanya saya tidak percaya namun selepas pergi melihat sendiri di kawasan kejadian, ia benar-benar berlaku.

“Sekarang ini susah sikit hendak ke pekan Karai, kalau nak pergi pun terpaksa lalu jalan jauh dengan laluan kampung yang sempit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Disember 2015 @ 8:35 AM