ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa yang tersepit di tempat duduk.

Seremban: Seorang pemandu lori nyaris maut apabila kenderaan sarat muatan besi yang dipandunya hilang kawalan lalu merempuh belakang lori lain dalam kemalangan berhampiran stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Batang Benar, Mantin, dekat sini, kelmarin.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBP) Mantin berkata, dalam kejadian jam 9.20 malam, Muhammed Nor Hidayat Abdullah, 25, dikatakan dalam perjalanan dari Nilai ke pekan Mantin.

Katanya, bagaimanapun mangsa yang berseorangan dipercayai hilang kawalan dalam keadaan hujan lebat sebelum merempuh belakang lori terbabit.

“Kejadian berkenaan mengakibatkan cermin hadapan lori dipandu mangsa pecah dan lelaki terbabit tersepit di tempat duduk pemandu.

“Kami terima panggilan kecemasan orang awam sebelum tiba di lokasi jam 9.30 malam dan mendapati mangsa tersepit di tempat duduk pemandu.

“Bomba dan anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM) mengambil masa 40 minit untuk mengeluarkan mangsa.

“Mangsa patah kaki kanan dan cedera di tangan serta muka dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) untuk rawatan lanjut,” katanya.

Katanya, bomba tidak menolak kemungkinan hujan lebat menyebabkan mangsa gagal mengawal kenderaan sebelum terbabas.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 Disember 2015 @ 6:49 AM