Faizal (kanan) melihat manuskrip Hang Tuah yang terdapat di PNM.
Faizal (kanan) melihat manuskrip Hang Tuah yang terdapat di PNM.
Oleh Mohd Syazwan


Kuala Lumpur: Laksamana Hang Tuah adalah ‘raja duta’ atau pegawai diplomatik ketika zaman Kesultanan Melayu Melaka menyebabkan pahlawan itu terkenal di negara luar dalam menjalinkan hubungan kerjasama antara kerajaan.

Timbalan Pengarah Pusat Kebangsaan Manuskrip Melayu Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) Faizal Hilmi Yusof berkata, ketokohan dan kebolehan yang dimiliki pahlawan berkenaan menyebabkan namanya turut dicatatkan dalam beberapa manuskrip di negara luar seperti Turki, India dan Jepun.

Beliau berkata, kewujudan pahlawan itu juga adalah benar berdasarkan empat manuskrip yang dimiliki PNM, cuma perbezaan adalah cara penyampaian dan olahan ayat oleh penulisnya saja.

“Empat manuskrip berkenaan, termasuk Hikayat Hang Tuah (HHT) dan Sullatus Salatin adalah benar dan bukannya dongeng semata-mata kerana ia menceritakan mengenai peranan serta sejarah pahlawan Melayu itu selain fakta yang diceritakan turut tidak bercanggah.

“Kemungkinan yang menimbulkan persoalan adalah manuskrip atau diari berkenaan ditulis kembali 100 tahun kemudian dan mungkin ada tambahan maklumat atau pengayaan bahasa saja yang berbeza,” katanya ketika ditemui, di sini.

Faizal Hilmi berkata, peranan yang dimainkan Hang Tuah sangat besar, malah pahlawan itu turut dicatatkan pernah mengunjungi kerajaan besar seperti Rom untuk membeli peluru meriam.

Sementara itu, beliau berkata, HHT dan manuskrip lain berkaitan Hang Tuah turut dihasilkan menggunakan kertas berasal dari Itali, Belanda dan United Kingdom berdasarkan cop yang tertera.

“Kemungkinan kertas itu dihasilkan dalam tahun 1600 hingga 1700 dan ini bermakna HHT atau manuskrip lain sudah ditulis 10 tahun lebih awal sebelum direkodkan,” katanya.

Selain itu, sejarawan dan pengkaji sejarah perlu memperluaskan lagi skop kajian berikutan hanya lima peratus saja diari atau manuskrip yang terdapat di PNM sudah dikaji secara serius.

“Kami mempunyai 5,000 manuskrip yang disimpan di PNM, namun hanya 250 daripada jumlah itu saja dikaji oleh pakar menyebabkan pelbagai persoalan atau sejarah berkaitan pahlawan Melayu dulu belum terungkai.

“Kami juga mengesan terdapat manuskrip di 32 negara luar yang menyimpan maklumat berkaitan sejarah Melayu dan kemungkinan ada kaitannya dengan Hang Tuah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 8:31 AM