RAKAMAN CCTV menunjukkan serangan balas antara pekerja dan penjenayah.

Kuala Lumpur: Tindakan berani dua pekerja sebuah hotel berdepan tiga penjenayah bersenjatakan parang berhasil apabila berjaya mengagalkan usaha menyamun hotel berkenaan dalam kejadian di Jalan Melayu, berhampiran Masjid India, dekat sini, awal pagi kelmarin.

Dalam kejadian jam 3 pagi, kedua-dua mangsa berusia 30-an yang juga warga Indonesia parah selepas ditetak kumpulan suspek lelaki itu manakala seorang daripada suspek turut mengalami nasib sama selepas bergelut dengan mangsa.

Sebelum kejadian, kedua-dua pekerja hotel terbabit bekerja di bahagian lobi hotel sebelum didatangi tiga lelaki berusia 20 hingga 30-an bersenjatakan dua parang yang cuba menyamun hotel berkenaan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Superintendan Habibi Majinji berkata, kedua-dua mangsa yang menyedari cubaan samun oleh tiga suspek berkenaan melawan kumpulan terbabit.

Bagaimanapun, katanya, kedua-dua mangsa cedera selepas ditetak oleh dua suspek yang membawa parang.

“Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan serius di bahagian kepala dan tangan akibat ditetak oleh suspek.

“Dalam insiden berkenaan, seorang daripada suspek turut cedera selepas bergelut dengan mangsa sebelum mereka melarikan diri menaiki dua motosikal,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Menurutnya, mangsa hanya sempat melihat satu daripada motosikal yang digunakan adalah Yamaha 135LC.

Katanya, ini adalah kejadian pertama dilaporkan berlaku di hotel berkenaan dan polis akan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) untuk mengesan suspek.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 16 Disember 2015 @ 8:33 AM