SEORANG remaja yang sesat ditemui selamat, petang semalam.
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim


Semenyih: Dua rakan yang dilaporkan sesat ketika mendaki Gunung Tok Wan, dekat sini, ditemui petang semalam oleh anggota bomba dan penyelamat selepas lebih 12 jam operasi mencari dijalankan.

Chai Ming Sueng, 18, ditemui pasukan penyelamat pada jam 5.41 petang semalam di puncak Gunung Tok Wan tanpa sebarang kecederaan manakala rakannya, Teh Tung Seng, 19, yang cedera di kaki ditemui pada jarak dua kilometer, lima jam kemudian.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih Anas Ahmad Zubaidi berkata, mangsa pertama ditemui dalam tempoh lima jam selepas operasi pencarian dilakukan di puncak Gunung Tok Wan.

“Dia dikatakan hilang arah sewaktu melakukan pendakian bersama rakannya.

“Mangsa mengambil keputusan meninggalkan rakannya yang mengalami kecederaan di bawah pokok di hutan berkenaan sebelum meneruskan usaha mencari jalan keluar,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa dapat dihubungi melalui telefon berdasarkan nombor diberikan rakan mereka.

Menurutnya, seramai tujuh anggota dan seorang pegawai Balai Bomba dan Penyelamat Semenyih dan Bangi dikerahkan untuk menyelamatkan mangsa.

Sementara itu, rakan mangsa, Eezhao Yang, 18, berkata, Chai dan Teh yang baru pertama kali mendaki gunung itu nekad meneruskan perjalanan meskipun lima rakan lain enggan mengikut mereka.

“Kami memulakan pendakian jam 7 pagi, namun tidak mahu meneruskan perjalanan akibat keletihan, tetapi mereka berdegil teruskan perjalanan,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian menerima panggilan daripada seorang mangsa yang menyatakan sesat dan gagal menemui jalan turun.

“Kami segera menghubungi ahli keluarga mereka selain pihak berkuasa. Mereka bernasib baik kerana masih dapat dihubungi melalui telefon bimbit,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 Disember 2015 @ 6:29 AM