Sebahagian kanak-kanak yang menerima bantuan.
ibubapa penerima bantuan menjamu selera di pekarangan Masjid Jamek Kijal.
Sukarelawan Harian Metro membantu murid miskin dan anak yatim memilih pakaian dan kasut di Pasaraya Besar Giant Kijal.
MUSTAPA (kiri) bersama Roseta (dua dari kiri) menyampaikan sumbangan kepada murid miskin.
Oleh Rosli Ilham dan Shamsudin Husin

Chukai: Seramai 150 anak yatim dan pelajar miskin dari 26 kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal gembira menerima pakaian dan kelengkapan sekolah sempena program Titipan Kasih Harian Metro (TKHM) yang berlangsung di Masjid Jamek Kijal, dekat sini, semalam.

Pelajar yang berkumpul di pekarangan masjid seawal jam 9 pagi dibawa membeli-belah di Pasaraya Besar Giant Kijal dengan bas sambil ditemani kakitangan dan sukarelawan Harian Metro.

Sebaik pulang, semua pelajar bersama ibu bapa masing-masing sempat menunaikan solat berjemaah sebelum menerima sumbangan kelengkapan sekolah yang disampaikan Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar.

Hadir sama, Pengurus Besar Pasaraya Besar Giant Kijal Nasharizam Nasir, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro Othman Mamat, Pegawai Perhubungan Korporat Giant Dairy Farm Malaysia Roseta Mohd Jaafar, Setiausaha Penyelaras UMNO DUN Kijal Rosali Taha dan Imam Masjid Jamek Kijal Samsudin Mohamad.

Program TKHM turut dimeriahkan dengan kehadiran 600 penduduk kampung yang menjamu selera dengan gulai kawah.

Sementara itu, Mustapa dalam ucapannya berkata, program TKHM yang diadakan tiga kali setahun kini semakin bergerak ke depan sehingga menjadi program bulanan.

“Program yang kita laksanakan ini aktiviti kemasyarakatan syarikat kami di bawah Media Prima Bhd untuk membantu mereka yang cacat, miskin dan kurang upaya.

“Kita turun menjenguk kesusahan mereka dan menghulurkan bantuan termasuk berkunjung ke rumah anak yatim serta rumah perlindungan remaja,” katanya.

Mustapa berkata, beliau berterima kasih kepada Pasaraya Besar Giant Kijal yang menjadi penaja utama program ini, sekali gus meringankan beban keluarga pelajar menjelang sesi persekolahan baru, depan.

“Saya juga berterima kasih kepada jawatankuasa masjid, penduduk kampung dan kakitangan dari Pejabat DUN Kijal yang sama-sama membantu memeriahkan program ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 22 Disember 2015 @ 9:04 AM