DR Ismail (empat dari kiri) menunjukkan kit permulaan makanan untuk mangsa banjir.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi

Sepang: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani menyediakan 27,000 kit permulaan makanan untuk diagihkan kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan pada musim tengkujuh ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Dr Ismail Bakar berkata, pihaknya tidak mempunyai masalah mengedarkan kit permulaan makanan itu kerana turut menerima kerjasama pelbagai pihak.

“Dari segi pengagihannya dan logistik, kita tidak mempunyai masalah kerana Kementerian Pertahanan turut bekerjasama dengan kita untuk membawa kit ini untuk diedarkan.

“Kit permulaan makanan ini dihantar ke barisan hadapan iaitu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang seterusnya akan mengedarkan kepada mangsa banjir di semua pusat pemindahan,” katanya ketika ditemui selepas melawat Pusat Operasi FAMA Dengkil, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak.

Kit permulaan makanan itu mengandungi 15 jenis produk makanan diuruskan FAMA serta diedarkan JKM kepada mangsa yang tinggal di pusat pemindahan berdaftar dengan jabatan itu mengikut bilangan isi rumah.

Ismail berkata, sebahagian daripada jumlah kit permulaan makanan berkenaan kini ditempatkan di 40 pusat operasi di seluruh negara, malah ada yang diserahkan kepada JKM untuk diagihkan kepada mangsa.

Pada masa sama, beliau berkata, pihaknya turut menyediakan bekalan makanan mentah untuk dimasak kepada mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan di seluruh negara.

Katanya, bekalan makanan itu seperti beras, bawang, halia, kentang dan kobis selain ikan dan ayam adalah mencukupi serta boleh menampung keperluan dalam tempoh sebulan.

“Semua bekalan makanan ini sudah disediakan dan mencukupi bagi menghadapi bencana banjir besar ini.

“Walaupun sudah disediakan, kita berharap janganlah berlaku banjir namun jika ia berlaku, kita memang sudah bersiap sedia,” katanya.

Beliau berkata, bekalan makanan untuk memasak itu akan terus disediakan kepada mangsa di pusat pemindahan sehingga keadaan pulih dan banjir surut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 7:38 AM