ISMAIL (kanan) dan Sabri tiba di Jeti Sungai Burung, Balik Pulau.

Balik Pulau: Dua kaki pancing menempuh detik cemas apabila terpaksa bermalam di laut lebih 24 jam selepas bot gentian kaca digunakan mereka mengalami kerosakan enjin dan dihanyutkan lebih 36 kilometer dari perairan Pulau Kendi, Teluk Kumbar di sini, ke perairan Tanjung Piandang, Perak, kelmarin.

Mangsa, Ismail Darus, 62, dan Sabri Saad, 50, keluar ke laut jam 9 pagi sebelum bateri enjin bot berhenti dan tidak dapat dihidupkan semula dua jam kemudian, menyebabkan mereka hanyut.

Ismail yang juga peniaga kedai makan berkata, pengalaman dihanyutkan berkenaan pertama kali berlaku ke atas dirinya walaupun pernah keluar memancing lebih tiga kali sebelum ini.

“Inilah kali pertama saya mengalami kejadian seperti ini dan pada mulanya saya takut serta bimbang sesuatu yang buruk boleh terjadi kepada saya dan Sabri menyebabkan saya menelefon anak saudara untuk memaklumkan kejadian menimpa kami.

“Namun, memikirkan Sabri mempunyai pengalaman sebagai nelayan perasaan bimbang hilang dan dia mengarahkan saya menjatuhkan sauh bagi menghentikan bot kami daripada terus hanyut.

“Selebihnya saya berdoa dan berharap nyawa kami panjang serta ditemui nelayan atau sesiapa saja yang menyelamatkan kami,” katanya ketika ditemui di Jeti Sungai Burung, di sini, petang, semalam.

Ismail yang trauma selepas diselamatkan berkata, sepanjang tempoh dihanyutkan itu, dia dan Sabri hanya minum air mineral kerana tidak membawa bekalan makanan.

“Kami terpaksa minum air kosong kerana tidak membawa bekalan makanan dan terpaksa berlapar sehinggalah kami diselamatkan sebuah bot nelayan pukat tunda yang melalui kawasan terbabit jam 10.50 pagi tadi (semalam),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 23 Disember 2015 @ 7:40 AM