CHUA (tiga dari kiri) beramah mesra dengan pemandu yang memasuki Singapura melalui Tambak Johor.
Oleh Rudy Fazrunisyam Samarudin

Johor Bahru: Sejumlah 300 pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Jabatan Imigresen ditugaskan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) bagi memastikan laluan keluar masuk ke negara ini lancar.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong berkata, jumlah itu adalah penambahan bagi kedua-dua agensi terbabit yang akan dikuat kuasa tahun depan untuk melancarkan pemeriksaan khususnya di waktu puncak.

Katanya, sebagai langkah awal, Jabatan Imigresen tidak membenarkan pegawainya bercuti terutama pada cuti umum dan musim perayaan berikutan peningkatan keluar masuk di kedua-dua lokasi itu.

“Jumlah pengguna meningkat antara 30 hingga 40 peratus sehingga menyebabkan kesesakan di waktu puncak terutama pada musim perayaan dan cuti umum.

“Menerusi pertambahan antara 200 hingga 300 pegawai JKDM dan imigresen ini, kami yakin ia boleh melancarkan pemeriksaan bagaimanapun ini tidak bermakna kita berkompromi dari segi keselamatan,” katanya ketika melawat Bangunan Sultan Iskandar (BSI) untuk meninjau kesesakan lalu-lintas di Tambak Johor, semalam.

Pada minggu lalu berlaku kesesakan luar biasa di Tambak Johor membabitkan laluan masuk keluar Singapura sehingga mengundang rasa tidak puas hati pelbagai pihak.

Difahamkan, kesesakan itu berlaku berikutan tindakan pihak berkuasa Singapura memperketatkan kawalan keselamatan dengan menjalankan pemeriksaan rapi ke atas setiap kenderaan yang memasuki republik berkenaan.

Chua berkata, satu pasukan petugas sudah ditubuhkan membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dan PLUS bagi memantau dan mengawasi aliran trafik di kedua-dua laluan serta mengambil tindakan segera berdasarkan situasi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 9:30 AM