ANTARA premis perjudian yang diserbu STAGG dalam beberapa siri operasi serentak.
ANTARA premis perjudian yang diserbu STAGG dalam beberapa siri operasi serentak.
Oleh Mohd Hasbi Sidek

Kuala Lumpur: Tawar judi kuno membabitkan teka gambar ikan, ayam, udang dan ketam. Itu antara tarikan ditawarkan sindiket judi yang masih berdegil meneruskan operasi walaupun menyedari diburu polis.

Sindiket ala kasino itu dikesan menjadikan pertaruhan judi ‘holo’ itu sebagai aktiviti sampingan selain judi dalam talian menggunakan komputer.

Penganjur judi [holo’ ini dikesan berselindung di sebalik warung menjual makanan dan minuman bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Kegiatan itu dibongkar hasil serbuan Ops Dadu dijalankan anggota Skuad Taktikal Antimaksiat, Perjudian dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman di tujuh premis judi di sekitar Bandar Baru Bangi, Kajang, Teluk Kemang di Port Dickson dan Subang Jaya semalam.

Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman Senior Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, sebuah warung makan di Teluk Kemang, Negeri Sembilan, yang diuruskan seorang wanita dikesan menjalankan kegiatan judi dipanggil ‘holo’.

“Mereka menggunakan beberapa gambar binatang, piring dan dadu. Premis ini mula bergiat aktif sejak sebulan lalu,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Khairy berkata, sebuah lagi premis di Bandar Sunway, Subang Jaya, dikesan menawarkan judi jenis poker menggunakan cip sebagai kaedah penukaran wang tunai.

“Aktiviti judi itu dijalankan di sebuah rumah kedai yang baru siap dibina. Premis dikawal kamera litar tertutup (CCTV) dan pelanggan masuk ke dalam premis menggunakan loceng.

“Polis turut menahan seorang wanita dan dua lelaki warga tempatan dipercayai penjaga premis selain menahan 24 pelanggan tempatan dan empat pelanggan warga asing ,” katanya.

Menurutnya, lima lagi premis judi didapati menjalankan judi dalam talian dan pihak polis menahan empat lelaki dan seorang wanita warga tempatan serta tiga warga asing yang dipercayai penjaga.

“Semua yang ditahan berusia dari 20 hingga 45 tahun. Mereka disiasat mengikut Seksyen 4B(a), Seksyen 7(2) dan Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 9:49 AM