Kuswadiwani menunjukkan menu RM2 yang disediakan di restorannya yang terletak di Lorong Medan Kangar.
Oleh Aizat Sharif

Kangar: Walaupun harga barang dan kos sara hidup semakin meningkat, itu bukan penghalang pemilik restoran, di sini, memperkenalkan set hidangan sarapan pagi serendah RM2.

Hidangan seperti nasi goreng kampung, bihun dan kuetiau goreng serta minuman teh dan kopi O panas yang dijual di Restoran Diwani ternyata menggamit ramai orang untuk menjamu selera atas faktor harga yang murah.

Pemiliknya, Kuswadiwani Dahlan, 47, berkata dia memperkenalkan menu pada harga minimum selepas melihat ramai pelanggan yang bekerja di pasar raya berhampiran singgah di restorannya untuk mengalas perut sebelum memulakan tugas.

“Saya memperkenalkan set hidangan sarapan pagi pada harga RM2 selepas mendapati mereka itu terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah seperti tukang cuci, pengawal keselamatan dan pembantu jualan tetapi singgah di restoran saya untuk makan,” katanya ketika ditemui, di sini, semalam.

Menurutnya, dia memulakan perniagaannya di situ sejak 2005 lalu memperkenalkan set hidangan RM2 kepada pelanggannya sejak hampir setahun lalu, namun tidak ramai menyedarinya.

“Mereka yang tahu pun hanya orang yang bekerja sekitar kawasan ini. Ini bukan bermakna saya tidak mempromosikannya kerana pemberitahuan mengenai set hidangan itu terpampang di restoran ini,” katanya.

Ibu tunggal kepada tiga anak berusia 13 hingga 23 tahun itu berkata, tujuan dia memperkenalkan set hidangan berkenaan semata-mata mahu memastikan semua orang tanpa mengira latar belakang ekonomi dapat menjamu selera di restorannya.

Kuswadiwani berkata, set hidangan itu mula dijual dari jam 8 hingga 11 pagi dan ia akan disediakan seawal jam 7 pagi.

“Kita akan sediakan bekas besar bagi nasi, bihun dan kuetiau goreng untuk pelanggan. Pilihan minuman pula hanya teh dan kopi O panas tetapi tidak bermakna pelanggan tidak boleh memilih menu kerana ada juga hidangan lain disediakan,” katanya.

Katanya, dia tidak mengharapkan pulangan lumayan daripada set hidangan itu kerana apa yang penting adalah selera bagi golongan yang memerlukan dan berkemampuan dapat dipenuhi.

“Segala rezeki datangnya daripada Allah SWT dan hanya itu cara yang termampu dilakukan oleh saya bagi membantu orang yang tidak berkemampuan untuk menjamu selera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 9:52 AM