SETIAUSAHA Titipan Kasih, Muhamad Safar Ahmad (kiri) bersama Roseta (kanan) mencuba pakaian pelajar miskin dan anak yatim di Pasaraya Giant Kijal, Terengganu.
MUSTAPA (dua dari kiri) mencuba baju sekolah Irfan Mohd Suhaimi, 8, (kiri). Turut serta Othman Mamat (dua dari kanan) yang memilih seluar sekolah untuk Mohd Irsyad Mohd Suhaimi, 11, (kanan) dan Roseta (tiga dari kanan) mencuba baju sekolah kepada Mohd Izwan Hanizat, 8 (tengah).
Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Kecenderungan kakitangan mempunyai minat sama untuk membantu komuniti mencetus idea kepada pemilik pasar raya besar Giant, GCH Retail Malaysia Sdn Bhd (GCH Retail) menubuhkan pasukan sukarelawan ‘Big Hearted Giant’, baru-baru ini.

Pengarah Hal Ehwal Korporat GCH Retail Roseta Mohd Jaafar berkata, pasukan yang mula dilancarkan pada 19 Disember lalu dianggotai 1,500 kakitangan dari 150 cawangan seluruh negara yang dilatih khusus bagi memudahkan tugas menyalurkan bantuan serta program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

“Walaupun kakitangan kami ada macam-macam ragam dan minat berlainan, tetapi kami nampak kecenderungan mereka sama kepada program berbentuk kesukarelawan membantu masyarakat.

“Jadi, bertitik tolak daripada itu, kami melancarkan pasukan ini dan setiap daripada mereka yang terpilih akan diberi pendedahan dan dilatih bagaimana menguruskan hal berkaitan kerja kebajikan dan apa tindakan perlu dibuat sekiranya komuniti setempat memerlukan bantuan termasuk pemakaian sesuai.

“Dengan cara ini kami harap dapat memupuk semangat membantu dan menerapkan kelainan jauh dari kebiasaan bekerja dalam diri kakitangan kami yang kebanyakannya berusia antara 18 hingga awal 30 tahun,” katanya.

Menurutnya, penubuhan pasukan berkenaan akan memantapkan lagi program CSR sedia ada yang sudah dilaksanakan sejak GCH Retail mula beroperasi pada awal 1990-an.

“Setiap tahun kami memperuntukkan RM1.7 juta khusus untuk program CSR seperti menyalurkan bantuan dalam misi membantu mangsa banjir dan tanah runtuh, kebakaran, gempa bumi serta program Giant Sayang Sekolah Saya.

“Terbaru, program terakhir tahun ini, kami menyumbang RM32,000 untuk membantu 150 pelajar sekolah dari Kampung Nelayan di Kijal, Terengganu mendapatkan barangan sekolah menerusi program Titipan Kasih anjuran Harian Metro,” katanya.

Sempena program Titipan Kasih Harian Metro di Kijal, Chukai, Terengganu Isnin hingga Selasa lalu, Roseta bersama sukarelawan GCH Retail dan Harian Metro turut meluangkan masa membantu pelajar mencari kelengkapan persekolahan di Pasaraya Besar Giant Kijal.

Turut hadir dalam program itu ialah Pengarang Kumpulan Harian Metro Datuk Mustapa Omar, Pengarang Eksekutif (Pengeluaran/BPI) Harian Metro Othman Mamat serta Pengurus Besar Pasaraya Besar Giant Kijal Nasharizam Nasir.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 24 Disember 2015 @ 9:55 AM