ABDUL Jalil (kiri) menunjukkan bahan kempen promosi Cabutan Bertuah Nissan Almera.
ABDUL Jalil (kiri) menunjukkan bahan kempen promosi Cabutan Bertuah Nissan Almera.
Oleh Norfaisal Jahuri

Melaka: Kongsimakan Berhad (Kongsimakan) menawarkan sebuah Nissan Almera menerusi promosi cabutan bertuah bermula sekarang sehingga pertengahan bulan depan sebagai galakan kepada koresponden Kongsimakan meningkatkan jualan mereka.

Kongsimakan mensasarkan jumlah jualan akan meningkat kepada RM54 juta dalam tempoh sebulan sepanjang promosi cabutan bertuah berlangsung sekali gus membantu menambah jumlah keahlian.

Pengurus Besar Kongsimakan Abdul Jalil Halidi berkata, pihaknya menjangka akan menjual 30,000 set keahlian bagi program usahawan yang ditawarkan pihaknya menerusi cabutan bertuah itu.

Beliau berkata, cabutan bertuah ini terbuka kepada semua koresponden Kongsimakan bagi melayakkan mereka mendapat tiket cabutan bertuah sekali gus membuka peluang memandu pulang kereta berkenaan.

“Cabutan bertuah ini ialah sebagai motivasi kepada koresponden untuk bersaing menambah keahlian di bawah mereka dan galakan ini juga mampu meningkatkan hasil jualan apabila ada persaingan seperti ini.

“Program ini antara langkah promosi pembukaan bagi 2016 supaya koresponden bergerak dengan lebih aktif untuk menjana pendapatan mereka,” katanya.

Abdul Jalil berkata, bermula tahun depan, pihaknya menawarkan cabutan bertuah secara bulanan dengan menyediakan pelbagai hadiah menarik kepada koresponden.

Selain itu, katanya, Kongsimakan akan menggiatkan lagi promosi mereka dengan lebih agresif sebagai galakan kepada koresponden untuk menawarkan jualan kepada ahli baru.

“Kami harap, dengan ada program seperti ini, ia mampu menyuntik semangat kepada koresponden dan seterusnya ahli kami untuk bekerja dengan penuh semangat dalam meningkat jualan,” katanya.

Menurut Abdul Jalil, menerusi cabutan bertuah bagi sesi November dan Disember, pihaknya menawarkan Perodua Axia dan motosikal Demak kepada korespondan.

Hadiah utama berkenaan dimenangi Azmi Ahmad manakala motosikal Demak dimenangi Azlina Aris. Ia menerusi cabutan yang diadakan baru-baru ini.

“Menerusi promosi berkenaan, kami berjaya menarik 800 penyertaan dengan membabitkan 70 peratus keahlian baru dan kami melihat program diadakan ini mampu menarik minat ramai untuk mengambil bahagian,” katanya.

Beliau berharap usaha dilakukan Kongsimakan mampu melahirkan lebih ramai usahawan yang berkeupayaan untuk menarik keahlian baru dalam memasarkan pelbagai produk yang dihasilkan.

“Individu yang berminat untuk menyertai keahlian Kongsimakan boleh menghubungi kami di talian 06-2813672 atau layari www.kongsimakan.com bagi mendapatkan keterangan lanjut,” katanya ketika ditemui.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 3:22 AM