RUSIFAH menunjukkan mesej terakhir daripada adiknya. FOTO Mikail Ong
Oleh Azma Razana Johari


Bukit Mertajam: "Kali terakhir saya terima Whatsapp daripada adik kira-kira 10.30 malam sebelum mereka menaiki bas di Terminal Bas Butterworth untuk ke Kuala Terengganu," kata Rusifah Abdul Rahim, 33, anak sulung Hasiah Osman, 57, yang maut dalam kemalangan bas dan treler di Gerik, awal pagi tadi.

Dalan kemalangan 1.30 pagi itu, Rusifah juga kehilangan adik bongsunya, Muhammad Amir, 16, manakala bapanya, Abdul Rahim Hashim, 68, yang turut menaiki bas yang sama terselamat.

Katanya, adiknya itu menghantar pesanan ringkas berkenaan untuk memaklumkan kepadanya bas yang dinaiki bergerak meninggalkan terminal.

"Saya juga ada bertanya mereka duduk di bahagian mana dan adik memberitahu duduk di bahagian tengah bas selain duduk bersebelahan dengan ibu manakala ayah di kerusi tunggal.

"Saya juga berpesan kepada adik supaya menjaga ibu dan ayah sebelum kami mengakhiri perbualan," katanya yang ditemui di rumah keluarganya di Kampung Alma, di sini.

Rusifah berkata, kira-kira 1.30 pagi, dia menerima panggilan daripada bapanya namun tidak sempat untuk menjawab.

"Apabila tersedar pada 2 pagi, saya melihat ada panggilan tidak berjawab daripada ayah dan menghantar mesej kepada adik namun tidak berbalas," katanya

Katanya, kemudian bapanya menghubunginya semula dan memaklumkan kejadian yang menimpa ibu dan adiknya.

"Ketika itu saya tidak mampu berfikir apa-apa dan rasa tidak percaya selain terus berkemas untuk pulang ke kampung," katanya yang menetap di Puchong, Selangor.

Menurutnya, ibu bapa dan adik bongsunya dalam perjalanan ke rumah adik keduanya, Ahmad Idris, 32, di Terengganu.

"Mereka semua mahu ke rumah Ahmad yang baru menimang cahaya mata yang juga cucu pertama dalam keluarga kami," katanya.

Katanya, jenazah ibu dan adiknya akan dikebumi di Tanah Perkuburan Atas Bukit, Kampung Alma, malam ini selepas tiba dari Jeli.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Disember 2015 @ 8:55 PM