SUSUR keluar ke Plaza Tol Gombak sesak dengan kenderaan.
SUSUR keluar ke Plaza Tol Gombak sesak dengan kenderaan.
 TRAFIK sesak di Jalan Merdeka, Bandar Hilir pada jam 7 malam berikutan orang ramai mengambil peluang berkunjung ke Bandaraya Melaka sempena sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2015.
TRAFIK sesak di Jalan Merdeka, Bandar Hilir pada jam 7 malam berikutan orang ramai mengambil peluang berkunjung ke Bandaraya Melaka sempena sambutan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2015.
Oleh Garret Dawum

Kuala Lumpur: Kesesakan aliran trafik yang berlaku di lebuh raya utama negara semalam membuatkan rata-rata pengguna menyesal kerana tidak merancang perjalanan mereka lebih awal.

Seorang pengguna, Lucia Terey John, 28, berkata, perjalanannya dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur yang sepatutnya hanya mengambil tempoh kira-kira empat jam berlarutan hingga lapan jam.

“Saya tidak sangka trafik sesesak ini sehingga menyebabkan saya terpaksa berhenti beberapa kali untuk merehatkan diri daripada tekanan.

“Perbelanjaan petrol juga bertambah dua kali ganda memandangkan kereta bergerak terlalu perlahan. Selepas ini, saya tidak akan bergerak pada saat akhir,” katanya yang baru pulang bercuti sempena perayaan Krismas bersama suami, abang dan adik ipar.

Aliran trafik bergerak perlahan apabila warga kota kembali selepas cuti panjang sempena Maulidur Rasul dan perayaan Krismas yang disambut pada 24 serta 25 Disember lalu pada waktu sama bermula pagi semalam.

Sementara itu, Muhammad Syafiq Mohamed Shah Affendi, 26, berkata, dia terpaksa melencongkan perjalanannya ke Bentong, Pahang untuk berehat selama tiga jam sementara menunggu keadaan trafik lancar.

Dia yang memulakan perjalanan dari Kuantan, Pahang kira-kira jam 12 tengah hari semalam berbuat demikian apabila diberitahu seorang kawan mengenai kereta bergerak perlahan sepanjang 10 kilometer.

“Biasanya saya mengambil masa hanya empat jam untuk sampai ke Kuala Lumpur, tetapi saya terperangkap dalam kesesakan dan lambat sampai ke destinasi.

“Kalau saya tahu, saya gerak lebih awal iaitu malam semalam (kelmarin) kerana ramai yang akan memilih hari terakhir cuti untuk pulang ke rumah masing-masing,” katanya.

Jurucakap Pusat Kawalan Trafik PLUS Expressways Berhad berkata, di Lebuhraya Utara-Selatan dari arah utara ke Kuala Lumpur, trafik bergerak agak perlahan di empat laluan sejak jam 12.30 tengah hari semalam iaitu dari Changkat Jering ke Kuala Kangsar, Sungai Perak ke Terowong Menora, Ipoh ke Simpang Pulai dan Tapah ke Slim River.

“Dari arah selatan ke ibu kota pula, trafik dilaporkan sesak dari Pedas Linggi ke Seremban dan keadaan berterusan sehingga malam,” katanya.

Dalam pada itu, jurucakap Lembaga Lebuh Raya Malaysia (LLM) berkata, keadaan trafik sesak sebelum dan selepas plaza tol Bentong ke Bukit Tinggi mulai jam 12 tengah hari semalam.

Tambahnya, terdapat satu kemalangan biasa berlaku di KM441.9 arah Kuala Lumpur di Sungai Buaya ke Rawang, tetapi insiden itu tidak membabitkan sebarang kecederaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 28 Disember 2015 @ 5:12 AM