PENGUNJUNG berjalan di pesisir Pantai Batu Hitam.
SEORANG penduduk mencari remis di Sungai Pengorak yang berwarna merah.
Oleh Khairulmizan Yahya

Kuantan: Penduduk dan pengunjung di sekitar Pantai Balok, dekat sini, dikejutkan dengan perubahan air laut berwarna kemerah-merahan di pantai berkenaan, semalam.

Situasi itu disedari oleh orang ramai selepas hujan berterusan yang melanda daerah ini sejak petang Ahad lalu.

Malah, kebanyakan pengunjung yang singgah ke pantai itu hairan dengan situasi terbabit sehingga ada yang mengaitkannya dengan kesan perlombongan bauksit di daerah ini.

Sehingga petang semalam, imej fenomena yang disifatkan sebagai ‘laut merah’ oleh penduduk tempatan itu disebarkan secara meluas di media sosial sehingga menjadi viral.

Penduduk, Zulkifli Samad, 23, berkata, dia hairan dengan perubahan air laut berkenaan yang tidak pernah berlaku di pantai berkenaan sebelum ini.

Katanya, keadaan itu menyebabkan ada kalangan pengunjung yang singgah di pantai itu membatalkan hasrat mereka untuk mengadakan aktiviti riadah.

“Saya lihat air itu keruh dan berwarna kemerah-merahan. Ramai yang kata ini disebabkan oleh debu pencemaran bauksit, tetapi kita tidak tahu sejauh mana kebenarannya,” katanya.

Menurutnya, memandangkan situasi itu tidak pernah berlaku sebelum ini, peniaga di kawasan itu menasihatkan supaya pengunjung tidak bermain air.

“Saya harap pihak berkuasa termasuk Jabatan Alam Sekitar dapat menyiasat punca kejadian ini.

“Ini kerana ia boleh memberi imej negatif kepada pantai terbabit yang sering menjadi tumpuan pelancong dari dalam dan luar negeri,” katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati situasi sama turut dikesan di kawasan persisiran pantai di sepanjang Jalan Beserah-Kuantan menghala ke Pelabuhan Kuantan, dekat sini.

Kesan debu merah turut dilihat pada batu di kawasan pantai terutama selepas air pasang.

Pada Mei lalu, penduduk di daerah ini dikejutkan dengan fenomena ‘laut merah’ yang dapat dilihat sepanjang persisiran pantai di Tanjung Gelang berhampiran Pelabuhan Kuantan.

Bagaimanapun, pihak berkuasa menjelaskan bahawa fenomena itu tidak berbahaya kepada hidupan marin di perairan berkenaan berdasarkan keputusan ujian terhadap sampel air di kawasan itu.

Ia dikatakan berpunca daripada kesan pencemaran debu bauksit yang memasuki Sungai Pengorak sebelum mengalir ke laut.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 6:43 AM