IDRIS dan Erny Fariny menyaksikan persembahan silat sempena majlis perkahwinan mereka yang berlangsung di Hotel Summit Bukit Mertajam.
Oleh Azma Razana Johari

Bukit Mertajam: Keserasian serta mempunyai minat sama terhadap bidang muzik dan kebudayaan menjadi pengikat kasih kepada pasangan pengantin baru Idris Man, 47, dan isterinya, Erny Fariny Md Saad, 22.

Hubungan yang pada awalnya hanya sebagai guru dan anak murid, akhirnya menjadi sebuah ikatan sah sebagai suami isteri dan mereka dinikahkan serta bersanding di sebuah hotel, Sabtu lalu.

Idris berkata, sebelum ini, dia bertugas sebagai tenaga pengajar dalam bidang muzik di Jabatan Kebudayaan dan Kesenian (JKKN) Pulau Pinang manakala Erny yang lebih mesra disapa sebagai Puteri menjadi anak muridnya.

“Kami sudah mengenali antara satu sama lain sejak enam tahun lalu. Ketika itu, Puteri masih bersekolah di tingkatan tiga dan dia pelajar saya dalam bidang muzik di JKKN.

“Pada awalnya, hubungan kami hanya sebagai guru dan pelajar, tetapi menjadi serius sejak dua tahun lalu ketika Puteri menjadi pelajar di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA),” katanya.

Idris berkata, walaupun usia mereka jauh berbeza, namun minat yang mendalam terhadap muzik dan kebudayaan menjadikan mereka serasi.

Mereka memilih untuk mengadakan persandingan di Hotel Summit Bukit Mertajam dalam majlis yang penuh dengan persembahan kebudayaan.

Antara persembahan diadakan ialah qasidah dan marhaban oleh Kumpulan Pancha Delima, persembahan Ghazal Parti Ajinda, tarian Kompang Pengantin dan Joggie Allabaladin daripada kumpulan Suditari, solo biola oleh Hashim Ariffin dan boria oleh Gema Permata.

Pada majlis berkenaan, pasangan mempelai turut membuat persembahan bersama kumpulan mereka iaitu Copacabana untuk menghiburkan tetamu apabila Idris bermain gitar manakala Erny menyanyi.

Bagi Puteri pula, sikap suaminya yang sentiasa mengambil berat serta memahami minatnya membuatkan dia jatuh hati, seterusnya mengambil keputusan menerima lamaran berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Disember 2015 @ 7:58 AM