KEADAAN di Pantai Balok yang sepi tanpa pengunjung.

Kuantan: Fenomena ‘laut merah’ yang melanda persisiran Pantai Balok sehingga Pantai Batu Hitam, dekat sini, sejak kelmarin memberi kesan negatif kepada aktiviti ekonomi penduduk setempat di kawasan berkenaan.

Ia bukan saja mencacatkan pemandangan, malah menjejaskan pendapatan nelayan persisir pantai dan sungai yang bergantung sepenuhnya kepada hasil sungai dan laut di kawasan itu yang didakwa semakin berkurangan.

Situasi itu memberi kesan kepada pengusaha kemudahan penginapan dan kedai makan apabila orang ramai mengelak daripada mengunjungi pantai itu.

Nelayan, Shafaril Mohammad, 36, berkata, kejadian sungai dan laut bertukar merah dipercayai akibat kesan perlombongan bauksit kerap berlaku dan ia menjejaskan pendapatan mereka.

“Dulu kami keluar menangkap ikan sekitar tiga hingga empat kilometer dari kawasan pantai. Tetapi, sejak pencemaran akibat bauksit ini berlaku, kami pergi menangkap ikan di kawasan lebih jauh dari pantai.

“Apabila musim tengkujuh kami tidak dapat ke laut dan hanya boleh menjala ikan andeng (belanak) di ombak pesisir pantai.

“Tetapi, ikan itu pun tiada kerana air laut di kawasan ini kotor dan tercemar,” katanya ketika ditemui di Kampung Balok, dekat sini, semalam.

Penduduk Kampung Balok, Dzuari Mohammad, 61, berkata, penduduk bimbang dengan kesan air sungai yang bertukar kemerah-merahan terhadap kesihatan mereka.

Katanya, ada nelayan mendakwa kulit mereka gatal-gatal selepas terdedah dengan air berkenaan.

“Kita boleh tengok kesan lumpur merah yang mendap di dasar sungai ketika air surut dan pencemaran ini memberi kesan buruk kepada kami,” katanya.

Sementara itu, fenomena ‘laut merah’ yang menyaksikan air laut di persisiran pantai bertukar menjadi kemerah-merahan itu memberi kesan kepada pengusaha bidang pelancongan.

Jurucakap Hotel Mahdurah di Pantai Balok berkata, kejadian air laut bertukar warna itu menyebabkan ramai pengunjung tidak mahu turun ke pantai.

Katanya, keadaan itu menjejaskan tarikan semula jadi di kawasan berkenaan kerana pengunjung lazimnya singgah ke situ untuk bersiar-siar di kawasan pantai.

“Kita harap masalah ini dapat diatasi dengan segera kerana bimbang ia akan menjejaskan kedatangan pelancong sekali gus memberi kesan kepada pengusaha chalet dan resort di sini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 31 Disember 2015 @ 9:57 AM