AHMAD Sarji (dua dari kanan) bersama Ketua Eksekutif Kumpulan PNB Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berbual dengan pemenang, semalam.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi


Putrajaya: Kira-kira 1.26 bilion unit harga tetap bagi Amanah Saham Wawasan (ASW) 2020 belum dilanggan.

Perkara itu dimaklumkan Pengerusi PNB Tun Ahmad Sarji ketika berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia Kategori Badan Beruniform, di sini, semalam.

Ahmad Sarji berkata, selain ASW 2020, beberapa produk amanah saham lain seperti Amanah Saham Didik (ASD) masih boleh dilanggan dengan baki unit harga tetap kini berbaki 286.31 juta unit.

Menurutnya, Amanah Saham 1Malaysia (AS1Malaysia) pula masih berbaki 1.47 bilion unit yang belum dilanggan manakala Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) pula ialah 6.78 bilion unit.

“Bagi ASB2, hanya 200,000 unit ditawarkan bagi setiap pelabur Bumiputera. Berbeza dengan Amanah Saham Bumiputera (ASB), ia boleh dilanggan tanpa had tetapi tertakluk kepada had pelaburan maksimum 200,000 unit bagi setiap pelabur Bumiputera,” katanya.

Terdahulu, pada majlis sama, PNB menobatkan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai johan keseluruhan Kuiz Pelaburan PNB 1Malaysia kategori badan beruniform, sekali gus membawa pulang piala pusingan dan iringan serta hadiah utama unit Amanah Saham Gemilang-Pendidikan (ASG-Pendidikan) bernilai RM15,000.

Tempat kedua disandang Bahagian Kejururawatan Malaysia yang membawa pulang ASG-Pendidikan bernilai RM8,000 dan piala iringan diikuti tempat ketiga ialah Jabatan Penjara Malaysia yang membawa pulang ASG-Pendidikan bernilai RM5,000 dan piala iringan.

Ahmad Sarji berkata, PNB menyediakan perkhidmatan skim potongan gaji menerusi Pelan Pelaburan Sistematik (PPS) untuk kemudahan kakitangan sektor awam dan swasta melabur.

Katanya, mereka boleh memilih untuk melabur dalam produk pelaburan mampu milik dengan permulaan serendah RM10 atau 10 unit dan RM100 atau 100 unit.

Dalam pada itu, beliau berkata, pelabur PNB meraih manfaat bernilai RM132.74 bilion dalam bentuk agihan pendapatan dan bonus yang dibayar sejak 1981 hingga Oktober lalu.

“Unit amanah saham PNB mempunyai beberapa daya tarikan istimewa iaitu kadar pengagihan pendapatan berdaya saing dan konsisten selain mudah memperoleh unit saham tambahan.

“Selain itu, mudah mengeluarkan wang pelaburan pada bila-bila masa dan mudah mendapat maklumat mengenai kegunaan wang pelaburan menerusi laporan lengkap diedarkan kepada pemegang unit setiap tahun,” katanya.

Beliau berkata, sambutan rakyat Malaysia terhadap penyertaan di dalam unit amanah saham terbukti dari segi jumlah unit dalam edaran iaitu 202.89 bilion unit dan dari segi pemegang unit iaitu seramai 12.53 juta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 2 Disember 2015 @ 5:36 AM