PELAJAR bergambar kenangan bersama Moggie dan Ahmad Tajudin selepas tamat majlis penutupan Program Mutiara Timur 2015.
Oleh Hamizah Badiran
hamizah@hmetro.com.my

Cita-cita asalnya mahu menjadi seorang saintis dalam bidang perubatan apabila dewasa kelak, tetapi kini minatnya juga semakin bercambah ke arah kejuruteraan selepas melihat petugas Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Stesen Janaelektrik Putrajaya melakukan kerja mereka.

Muhammad Nursyam Samsul, 16, dari Sekolah Menengah Kebangsaan Tawau, Tawau, Sabah mendapat peluang menyaksikan sendiri petugas di situ melakukan kerja mereka selepas terpilih mengikuti Program Mutiara Timur 2015 anjuran TNB menerusi Yayasan Tenaga Nasional (YTN) kelolaannya.

Program tanggungjawab sosial korporat (CSR) TNB yang berlangsung selama lima hari bermula 23 hingga 27 November lalu bertujuan memberi pendedahan dan mencetuskan aspirasi kepada 50 orang pesertanya selain bertindak sebagai landasan untuk pelajar ini mengenali operasi harian TNB dan kampus Universiti Tenaga Nasional (UNITEN).

Menurut Muhammad Nursyam yang memperoleh keputusan 9A1B dalam Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3), dia berasa cukup bertuah, gembira dan bersyukur kerana dapat menyertai program yang penuh dengan manfaat itu.

“Kami dibawa melawat ke pelbagai tempat menarik di sekitar Wilayah Persekutuan dan Putrajaya di mana sebelum ini saya tidak pernah lawati walaupun sudah beberapa kali ke Semenanjung bersama keluarga.

“Memori paling manis tentu saja dapat menjejakkan kaki di UNITEN dan Stesen Janaelektrik Putrajaya kerana dua lokasi ini membuka persepsi baru dalam kehidupan saya sebagai seorang anak muda dan pelajar yang perlu belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya pada masa depan.

“Selain itu, mereka juga menawarkan pembiayaan pendidikan seperti biasiswa YTN kepada pelajar yang layak untuk melanjutkan pengajian ke universiti terkemuka di dalam dan luar negara,” katanya yang mendapat Anugerah Peserta Terbaik Lelaki pada majlis penutupan rasmi Program Mutiara Timur 2015 yang diadakan di rhr Hotel, UNITEN, baru-baru ini.

Majlis penutupan rasmi itu disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia, Sektor Operasi Pendidikan, Datuk Ahmad Tajudin Jab. Hadir sama, Pengerusi TNB merangkap Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YTN, Tan Sri Leo Moggie.

Turut sama berasa teruja seperti Muhammad Nursyam ialah Nashley Ursula Mundi Ujai, 16, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan St Augustine, Betong, Sarawak, yang berpendapat program berkenaan memberi banyak ilmu pengetahuan dan pengalaman baru kepada dirinya.

“Selain diberi kesempatan melawat ke tempat menarik seperti Dataran Merdeka, Pasar Seni dan Petrosains, saya juga mendapat lebih keberanian serta keyakinan ketika berhadapan dengan orang ramai.

“Perkara ini saya dapati menerusi program dalam kumpulan dan sesi motivasi yang dijalankan. Saya lebih berani untuk berkomunikasi dan berinteraksi dengan ahli kumpulan serta peserta lain di mana kebanyakan kami baru berjumpa buat kali pertama,” katanya.

Guru Kaunseling Sekolah Menengah Kebangsaan Balong, Tawau, Sabah, yang juga selaku guru pengiring peserta program, Roslan Tola berkata, program berkenaan memberi pendedahan awal kepada pelajar terhadap realiti sebenar alam pekerjaan serta pengajian di universiti.

Selain itu, ia juga bagus berikutan pelajar mendapat pengalaman secara ‘hands on’ sepanjang program itu berlangsung.

“Kami amat menghargai usaha yang dilakukan pihak TNB kerana majoriti peserta kali ini tidak pernah sampai ke Semenanjung. Keinginan dan komitmen mereka sepanjang program sangat memberangsangkan.

“Bagi saya, prestasi pelajar di luar bandar setanding dengan mereka di bandar utama. Apa yang membezakan mungkin cuma mereka kurang mendapat pendedahan,” katanya.

Sementara itu, Moggie berkata, melalui Program Mutiara Timur 2015 ini, ia dapat meningkatkan kesedaran peserta terhadap peluang pendidikan yang ada khususnya dalam kalangan pelajar luar bandar.

“Saya berharap semua pelajar membawa pulang ilmu dan pengalaman tidak ternilai harganya selama mengikuti program ini. Tanamkan dalam diri semangat mahu berjaya dan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita.

“Usaha atau sumbangan daripada YTN ini tidak seberapa dan ia adalah hadiah kepada anak-anak terutamanya yang datang dari luar bandar, tetapi cemerlang dalam pelajaran seperti kamu semua,” katanya.

Ahmad Tajudin mengucapkan syabas kepada TNB melalui YTN yang berjaya meneruskan pelaksanaan program berorientasikan pendidikan ini. Berkat kesungguhan dan komitmen yang tinggi, YTN berjaya mengumpulkan 50 orang pelajar yang terpilih berdasarkan pencapaian akademik dan ko-kurikulum dari Sabah dan Sarawak.

“Harapan saya, program ini dapat menjadi tauladan yang baik kepada badan korporat lain serta seluruh rakyat di Malaysia. Program ini juga dilihat satu usaha untuk membina generasi 1Malaysia yang lebih kukuh dan dinamik dengan pembentukan generasi pelapis seawal usia muda lagi.

“Tidak dapat dinafikan, TNB juga berjaya membuktikan komitmen dalam memajukan dan memperkasakan pendidikan dalam penganjuran program seumpama ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 6:33 AM