Roslan (dua kiri) menyampaikan bantuan kepada Tohir pada Majlis Bantuan Mangsa Banjir Kuala Selangor sumbangan dari Tabung Bencana NSTP Media Prima di SK Parit Mahang.

Kuala Selangor: “Saya gembira atas keprihatinan masyarakat terutama Media Prima Berhad (MPB) yang tidak putus memberi sumbangan yang sangat bermakna buat kami.

“Sumbangan ini meringankan beban, tambahan pula saya yang lama tidak bekerja dan sakit jantung,” kata Tohir Amat, 64, antara mangsa banjir di daerah ini yang menerima sumbangan MPB menerusi Tabung Bencana Kemanusiaan NSTP-Media Prima, semalam.

Penduduk Parit Mahang itu berkata, banjir itu ujian kepadanya yang turut memiliki anak orang kurang upaya (OKU) mental.

Menurutnya, selepas dibenarkan pulang dari pusat pemindahan, dia demam panas kerana berhempas pulas membersihkan kediamannya walaupun tidak berupaya lagi.

Pada majlis itu, 217 keluarga terjejas akibat banjir di Kuala Selangor baru-baru ini menerima sumbangan barangan keperluan asas seperti biskut, minyak masak, susu, sabun dan alatan membersih bernilai RM200 setiap keluarga.

Sumbangan disampaikan Timbalan Pengerusi Badan Khairat NSTP Roslan Ibrahim pada majlis penyerahan di Sekolah Kebangsaan (SK) Parit Mahang, di sini, semalam.

Sementara itu, Roslan berkata, semua barangan itu berdasarkan apa yang diperlukan mangsa selepas meneliti dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Selangor.

“Ini sumbangan pertama kepada mangsa banjir daripada MPB menerusi Tabung Bencana Kemanusiaan NSTP-Media Prima.

“Seramai 10 sukarelawan daripada briged MPB-NSTP menyertai misi menghantar sumbangan pasca banjir bagi mengurangkan beban mereka,” katanya.

Roslan berkata, dalam pada itu, GCH Retail (Malaysia) Sdn Bhd (GIANT) antara rakan kongsi yang turut serta dalam misi tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Disember 2015 @ 6:46 AM