ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang lemas dalam longkang di Jalan Sejijak, kelmarin.
ANGGOTA bomba mengangkat mayat mangsa yang lemas dalam longkang di Jalan Sejijak, kelmarin.

Kuching: Luluh hati seorang ibu apabila selipar yang ditemui di tepi longkang membawa kepada penemuan mayat anak lelakinya dalam keadaan tertangkup di dalam longkang di Jalan Sejijak di sini, kelmarin.

Mayat mangsa, Rafael Emmanuel Anyi, 17 ditemui lemas oleh ibunya sendiri dalam longkang sedalam empat meter yang masih dalam pembinaan pada jam 7 malam.

Sumber berkata, remaja terbabit yang tinggal di Taman Malihah baru menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan melepak bersama rakannya pada jam 3 pagi, Rabu lalu.

Bagaimanapun, dia tidak pulang ke rumah menyebabkan ibunya keluar mencari anaknya yang hilang sebelum membuat laporan polis pagi, Khamis lalu.

“Ada jiran memaklumkan ternampak satu selipar dipercayai milik mangsa berhampiran lampu isyarat di Taman Malihah dan berdasarkan maklumat itu, ibu remaja terbabit bergegas ke lokasi yang dimaklumkan untuk mencari anaknya.

“Namun, sehingga jam 11 malam, Khamis lalu, dia masih tidak menemui anaknya dan menyambung pencarian pada jam 2 petang, kelmarin.

“Ibu remaja terbabit kemudian menemui satu lagi selipar milik anaknya di longkang besar dan memeriksa kawasan itu sebelum menemui mayat anaknya dalam keadaan tertangkup,” kata sumber itu.

Wanita terbabit kemudian menghubungi pegawai penyiasat, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan, bagi memaklumkan menemui mayat anaknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:14 AM