PEKERJA menolong mengeluarkan bot yang terbalik dekat muara Kuala Merang, semalam.
Oleh Helmy Abd Rahman

Setiu: Lapan pekerja Pulau Redang dan pemandu bot terselamat apabila bot pelancong dinaiki mereka terbalik dipukul ombak dalam kejadian berhampiran muara Kuala Merang, di sini, semalam.

Difahamkan, penumpang bot terdiri daripada lima rakyat tempatan termasuk pemandu bot dan selebihnya warga asing.

Insiden jam 4 petang itu berlaku ketika bot dalam perjalanan dari Pulau Redang Jeti Kuala Merang, di sini.

Pemandu bot, Yem Mohamed, 47, berkata, kejadian berlaku secara tiba-tiba apabila dia tidak sempat mengelak ombak yang menggulung.

“Bot tidak dapat meluncur laju ketika itu menyebabkan saya mengangkat enjin kerana menyangkakan berada di kawasan laluan air cetek.

“Jika diikutkan, ketika kejadian cuaca di kawasan itu berada dalam keadaan baik, ombak tidak kuat dan saya pernah berdepan dengan gelombang lebih besar,” katanya ketika ditemui di Jeti Kuala Merang, di sini, semalam.

Dia yang hampir 10 tahun menjadi pemandu bot berkata, mereka diselamatkan nelayan tempatan yang melalui kawasan berkenaan.

“Nasib baik kami semua memakai jaket keselamatan dan tidak cedera, cuma kepala saya sakit kerana terhantuk pada bumbung kanvas bot.

“Selama menjadi pemandu bot, ini kali pertama saya berdepan kejadian seumpama itu. Selepas ini saya akan lebih berhati-hati,” katanya.

Sementara itu, jurucakap bomba berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian terbabit pada jam 4.53 petang.

Menurutnya, sepasukan tujuh pegawai dan anggota yang tiba di lokasi kejadian dimaklumkan semua mangsa diselamatkan nelayan tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2015 @ 5:59 AM
Skip this ad x