ANGGOTA penguat kuasa kastam melakukan pemeriksaan di sebuah premis aksesori yang turut menjual rokok di bawah harga minimum.
Oleh Amir Abd Hamid dan Iskandar Shah Mohamed dan Mohd Firdaus Ibrahim

Putrajaya: “Mana-mana individu didapati tidak mematuhi harga minimum rokok mengikut Peraturan 8A (1) Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan,” itu amaran Pengarah Bahagian Kawalan Penyakit Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Chong Chee Keong ke atas mana-mana individu yang menjual rokok murah jenama tempatan pada harga ditetapkan kerajaan.

Menurutnya, anggota penguat kuasanya sentiasa memantau dan mengawasi mana-mana peniaga yang melanggar peraturan itu.

“Sepanjang tahun lalu, penguat kuasa KKM menjalankan serbuan terhadap 265 premis kerana menjual rokok jenama tempatan dengan harga bawah paras minimum dan RM132,000 kompaun dikenakan.

“Manakala sehingga tempoh enam bulan pertama tahun ini, pihaknya menyerbu 188 premis atas kesalahan sama membabitkan RM94,000 kompaun.

“Pemeriksaan berkala dan serbuan memang dibuat sepanjang masa,” katanya ketika ditemui.

Dr Chong memberikan maklum balas berikutan laporan Harian Metro kelmarin menunjukkan terdapatnya rokok murah jenama tempatan dijual jauh di bawah harga minimum di pasaran di antara RM3.50 dan RM5.

Harga minimum rokok ditetapkan RM9 untuk 20 batang pada 1 Ogos 2015 dan dinaikkan lagi RM10 pada 1 Ogos 2016. Dengan harga itu bermakna tiada rokok yang boleh dijual di bawah harga berkenaan.

Namun, berdasarkan pemerhatian dan tinjauan Harian Metro, terdapat lima jenama rokok tempatan dijual pada harga bawah paras minimum di banyak lokasi dan yang menjadi persoalan mengapa ia boleh dijual murah sedangkan berdasarkan duti eksais tembakau yang dinaikkan baru-baru ini, setiap batang rokok dikenakan duti eksais 40 sen. Jika 20 batang bermakna duti eksais tembakau dikenakan untuk sekotak ialah RM8.00.

Ini belum lagi mengambil kira lambakan rokok seludup di pasaran. Kenaikan duti eksais baru-baru ini juga dipercayai mendorong peningkatan permintaan terhadap rokok seludup ini.

Dr Chong berkata, implikasi lambakan rokok seludup di pasaran tempatan adalah isu berasingan yang mesti ditangani secara komprehensif.

“Terdapat banyak faktor lain (selain harga) yang boleh menyebabkan lambakan rokok seludup di pasaran, tidak wajar dikaitkan dengan kesalahan pelanggaran harga minimum rokok dan perlu ditangani secara berasingan,” katanya.

Katanya, pelanggaran undang-undang harga minimum rokok oleh peruncit tidak bertanggungjawab membantutkan usaha Kementerian Kesihatan untuk mencapai sasaran menurunkan jumlah perokok di Malaysia.

“Jumlah perokok disasarkan turun kepada 15 peratus daripada jumlah seluruh rakyat Malaysia pada 2025 berbanding fakta dikumpul pada 2011 iaitu 23 peratus perokok.

“Perkiraan mudah, bermakna pada 2011 bagi setiap 100 rakyat Malaysia terdapat 23 daripadanya perokok dan sasaran KKM ialah hanya 15 perokok bagi setiap 100 orang pada 2025,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pengarah Kastam Diraja Malaysia (Penguatkuasaan) Datuk Matrang Suhaili berkata, berdasarkan rekod pihaknya, syarikat yang membuat dan mengeluarkan jenama rokok berkenaan memang membayar duti eksais kepada kerajaan.

Menurutnya, dia melakukan semakan dan rokok yang dikeluarkan itu memang dikenakan duti eksais.

Memperincikan lanjut, Matrang berkata, duti eksais hanya dikenakan ke atas barang siap sahaja seperti rokok.

“Duti eksais tidak dikenakan atas tembakau,” katanya kepada Harian Metro, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 8:00 AM