SEBAHAGIAN peserta SL1M beramah mesra dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas Majlis Perjumpaan Khas Bersama Peserta SL1M di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
SEBAHAGIAN peserta SL1M beramah mesra dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak selepas Majlis Perjumpaan Khas Bersama Peserta SL1M di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), baru-baru ini.
Oleh Hamizah Badiran

Setakat Jun 2015 dianggarkan Malaysia mempunyai 14.7 juta tenaga kerja dengan lebih 400,000 orang termasuk dalam golongan mencari pekerjaan pada setiap masa atau menganggur.

Seramai 107,000 orang daripada jumlah penganggur itu pula terdiri daripada graduan lepasan diploma, ijazah dan ke atas. Dengan istilah lain, kadar pengangguran di Malaysia berada pada paras 3.2 peratus daripada jumlah tenaga buruh.

Tersentak dengan jumlah berkenaan? Jika kini jumlah itu dilihat agak tinggi, bagaimana pula keadaannya pada tahun-tahun akan datang? Ini kerana setiap tahun, universiti awam mahupun swasta kita melahirkan ramai graduan. Bagaimanapun, pada ketika ini, itu adalah hakikat yang perlu diterima.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar berkata, walaupun kadar pengangguran itu belum dikategorikan sebagai membimbangkan, Kerajaan tetap berkewajipan untuk mencari langkah bersesuaian bagi menangani masalah pengangguran.

Maka, lahirlah program dan skim latihan pekerjaan untuk golongan terbabit seperti Skim Latihan 1Malaysia (SL1M), iaitu satu projek tanggungjawab korporat sosial (CSR) bagi meningkatkan kebolehpasaran dan keupayaan graduan mendapatkan pekerjaan.

“Kita mahu membantu mereka seramai mana yang kita boleh dan dengan menyediakan pelbagai latihan bermanfaat terkandung di dalam SL1M, ia dirasakan amat bertepatan.

“Selain itu, dalam hal ini juga, menjadi keperluan pihak industri dan majikan untuk membantu Kerajaan menyediakan tempat dan peluang pekerjaan kepada golongan muda yang menganggur,” katanya.

Menurutnya, Kerajaan mensasarkan untuk melahirkan seramai 15,000 pelatih SL1M menjelang 2016 berbanding 10,000 tahun ini.

Statistik menunjukkan, setakat ini, sebanyak 210 syarikat swasta dan syarikat berkaitan Kerajaan (GLC) yang menyertai SL1M terus komited dan pihaknya yakin jumlah itu dapat ditingkatkan lagi menerusi semasa ke semasa dalam membantu meningkatkan tahap kebolehpasaran graduan melalui Program SLIM yang dijalankan oleh syarikat masing-masing.

“Kami sentiasa mengalu-alukan syarikat sama ada di bandar mahupun luar bandar yang ingin terbabit sama dalam program SL1M sebagai komitmen menyokong agenda pembangunan modal insan yang berdaya saing.

“Program latihan seperti ini bukan saja dapat mengurangkan kadar pengangguran dalam kalangan graduan, tetapi juga meningkatkan bilangan graduan yang mempunyai pengalaman alam pekerjaan yang sebenar.

“Malah, menerusi pengalaman saya berjumpa dengan peserta, mereka berubah menjadi lebih baik dari segi pertuturan, penampilan mereka dan amat berkeyakinan tinggi apabila berhadapan dengan orang ramai selepas menyertai program ini,” katanya.

Sejak 2011 hingga kini, seramai 70,000 graduan di seluruh negara dibantu SL1M dan daripada jumlah itu, seramai 26,140 graduan dibantu secara terus menerusi program SL1M yang dijalankan oleh syarikat, manakala graduan selebihnya dibantu secara tidak langsung menerusi ‘Program Outreach’ SL1M yang dijalankan di seluruh negara.

Program SL1M dikelolakan Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri melalui kerjasama dan komitmen daripada GLC dan syarikat swasta seluruh negara. Fokus utama program ini adalah graduan ijazah sarjana muda dan ke atas yang belum mendapat pekerjaan, berasal daripada keluarga berpendapatan rendah dan tinggal di luar bandar.

Peserta akan dilatih firma yang ambil bahagian bagi meningkatkan keyakinan diri dan mendapat pekerjaan di syarikat berkenaan, tertakluk kepada kekosongan jawatan dan prestasi peserta.

Peserta atau graduan terbabit juga diberi pendedahan serta pengalaman kerja sebenar di syarikat yang terdiri daripada pelbagai sektor di seluruh negara. Pasukan petugas tentu boleh menambah baik aplikasi konsep atau pendekatan ini bagi membantu graduan lebih mudah mendapat pekerjaan.

Buktinya, SL1M mendapat sambutan dan penyertaan menggalakkan daripada GLC dan syarikat swasta serta graduan sejak dilancarkan pada 1 Jun 2011.

Antara faedah yang diperoleh graduan melalui latihan kebolehpasaran oleh pihak syarikat terbabit adalah mereka mendapat pendedahan dan pengalaman bekerja di syarikat terdiri daripada pelbagai sektor, menerima latihan kemahiran insaniah (komunikasi, pemikiran kreatif dan analitik, etiket, dandanan dan sebagainya), latihan pekerjaan (maksimum hingga 12 bulan) dan elaun bulanan minimum RM1,000.

Bagi syarikat yang menyertai program ini pula, Kerajaan memperkenalkan beberapa insentif untuk menghargai kerjasama dan sokongan yang diberikan. Antaranya, insentif potongan cukai berganda iaitu potongan dua kali melalui kaedah cukai pendapatan dan skim levi caruman HRDF.

Sementara itu, Ketua Sekretariat SL1M, Norashikin Ismail berkata, berdasarkan banyak kajian dilakukan pihak universiti dan agensi pekerjaan, antara faktor pengangguran adalah sikap penganggur yang memilih pekerjaan selain cerewet dengan tawaran gaji.

Bagi golongan graduan pula, antara punca pengangguran adalah kelulusan dimiliki tidak menepati pasaran pekerjaan, tidak memenuhi kehendak majikan atau hanya lulus ‘cukup makan’, kurang keyakinan diri, lemah dalam penguasaan Bahasa Inggeris, kurang kemahiran berkomunikasi dengan baik dan sebagainya.

“Oleh itu, kita mahu sampaikan mesej kepada semua bahawa SL1M ini bagaikan peluang kedua kepada mereka untuk mendapatkan pengalaman dan pekerjaan.

“Program ini dilaksanakan atas dasar CSR dan juga amal jariah syarikat yang menyertai bagi membantu ramai graduan terutamanya graduan yang berasal dari kawasan pedalaman dan berpendapatan rendah meningkatkan kebolehpasaran mereka sekali gus turut meningkatkan ekonomi keluarga,” katanya.

“Saya juga amat mengalu-alukan penyertaan lebih banyak lagi GLC, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) serta syarikat swasta Malaysia ke dalam SL1M,” kata Norashikin.

Tiada bayaran dikenakan dan tiada had usia ditetapkan bagi mereka yang mahu mendaftar SL1M ini. Pendaftaran boleh dibuat di laman web rasmi Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri dan sentiasa mendapatkan maklumat terkini di www.facebook.com/Skim-Latihan-1Malaysia-SL1M.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Disember 2015 @ 8:02 AM