AHMAD Zaharin cuba mengendali mesin kompos.

Shah Alam: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama dalam negara menggunakan teknologi pengkomposan untuk melupuskan sisa pepejal.

Teknologi bernilai RM420,000 itu mampu menjimatkan kos pelupusan sampah berjumlah hampir RM2,000 setiap bulan selain mengurangkan kos pembajaan landskap di bandar raya itu.

Datuk Bandar Shah Alam Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad berkata, MBSA menerusi Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam membeli dua mesin kompos yang ditempatkan di Pasar Moden Seksyen 6, dekat sini, berikutan pasar berkenaan dikenal pasti mengeluarkan sisa pepejal tertinggi iaitu sehingga tiga tan setiap hari.

“Bagi mengurangkan sisa pepejal yang dilupuskan di tapak pelupusan sanitari, MBSA mengambil inisiatif menjalankan program pengkomposan sisa pepejal dari aktiviti perniagaan di pasar ini diproses menjadi baja.

“Sejak beroperasi pada Oktober lalu, mesin dikendalikan operator pembersihan pasar yang dilantik MBSA ini menghasilkan 1,500 kilogram (kg) baja kompos,” katanya ketika merasmikan Pusat Kompos Sisa Makanan di pasar berkenaan, semalam.

Hadir sama Timbalan Datuk Bandar Shukri Mohamad Hamin dan Ketua Eksekutif Mentari Alam EKO (M) Chelsea Chee iaitu syarikat yang mengeluarkan mesin kompos berkenaan.

Ahmad Zaharin berkata, MBSA turut merancang memperluas penggunaan mesin kompos itu di kawasan gerai dan pasar di sekitar Shah Alam serta mengkomersialkan baja pada masa akan datang.

“Selain mengurangkan pelbagai kos, antara faedah lain diperoleh melalui pelaksanaan Pusat Pengkomposan Sisa Makanan ini juga mengelakkan dan mengurangkan kadar pencemaran alam sekitar akibat daripada limpahan air ‘leachate’, sampah-sarap serta mengurangkan kapasiti sampah di tapak pelupusan sekali gus memanjangkan jangka hayatnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 7:51 AM