MOHD Pauzi dan Rosli (kiri) bersyukur selepas dijatuhi hukuman penjara dan sebat oleh Mahkamah Tinggi, di sini atas pertuduhan memiliki dadah.

Kota Bharu: Dua sahabat yang menghadapi tuduhan memiliki dadah bersyukur apabila hanya dikenakan hukuman penjara dan sebatan oleh Mahkamah Tinggi, di sini, selepas pindaan terhadap pertuduhan dilakukan, semalam.

Hakim Ahmad Bache membenarkan pindaan terhadap pertuduhan dilakukan dan mengenakan hukuman itu kepada kedua-dua tertuduh, Mohd Pauzi Mohd Nor, 28, dan Rosli Mat Ali, 25.

Mohd Pauzi dikenakan hukuman penjara 13 tahun dan 10 sebatan manakala Rosli dijatuhi hukuman penjara 11 tahun dan 10 sebatan.

Hukuman diarah dijalankan bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 24 Ogos 2014.

Mereka sebelum itu didakwa mengikut Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 yang membawa hukuman mati mandatori, namun pertuduhan dipinda kepada Seksyen 12 (2) ADB 1952 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 39A (2) akta sama.

Peruntukan itu menyebut tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau tempoh tidak kurang lima tahun serta minimum 10 sebatan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 614.82 gram di tempat letak kereta bawah tanah pasar raya KB Mall pada jam 3 petang, 24 Ogos 2014.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 10 Disember 2015 @ 8:19 AM