Bangsal yang siap dibina penduduk Orang Asli di Kampung Jias A, Kuala Betis di puncak bukit.
Oleh Ramli Ibrahim

Gua Musang: Bimbang dilanda musibah banjir seperti tahun lalu, penduduk Orang Asli di Kampung Jias A, Kuala Betis, di sini, sepakat membina enam bangsal di atas puncak bukit berdekatan kawasan kediaman mereka.

Bangsal diperbuat daripada buluh dan kayu serta beratap plastik itu mampu memuatkan 80 orang iaitu semua penduduk Orang Asli di kampung itu.

Penduduk, Akod Ahan, 43, berkata, dia dan lima rakan membina bangsal berkenaan selepas kawasan mereka mengalami hujan berterusan sejak seminggu lalu.

“Kami bimbang kejadian bencana banjir tahun lalu berulang kerana pada ketika itu, kami langsung tidak dapat menyelamatkan apa-apa pun disebabkan air Sungai Nenggiri naik mendadak dan melimpah dengan cepat.

“Untuk itu, tahun ini kami bersiap dengan bangsal dan tempatkan juga barang keperluan dan makanan di situ,” katanya.

Rakannya, Anik Alik, 48, berkata, kaum perempuan Orang Asli turut menanam ubi kayu di sekeliling bangsal sebagai persiapan makanan sekiranya mereka terperangkap dan tidak mendapat bekalan dari luar.

Katanya, mereka kini hanya berpandukan kepada paras air sungai untuk berpindah ke tempat yang selamat.

“Jika air sungai naik ke paras bahaya dan hujan pula, kami segera berpindah ke kawasan bangsal itu supaya tidak terjadi lagi kejadian seperti tahun lalu.

“Banyak rumah kami musnah tahun lalu, namun Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) dalam proses membina rumah baru buat kami,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Nenggiri Datuk Mat Yusoff Ab Ghani berkata, pembinaan bangsal di puncak bukit di kampung itu inisiatif penduduk Orang Asli sendiri.

Beliau berkata, pihaknya menyokong inisiatif penduduk dan sentiasa berhubung dengan mereka bagi memastikan keselamatan Orang Asli terbela sepanjang musim tengkujuh.

“Selain Kampung Jias A, dianggarkan lebih 5,000 penduduk Orang Asli menetap di Gua Musang di 20 pos seluruh daerah. Mereka ini berdepan risiko setiap tahun apabila banjir,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Disember 2015 @ 9:53 AM