JABATAN Imigresen Pulau Pinang menahan lima wanita dari Nigeria dan dua wanita dari Uganda kerana disyaki melacur dalam serbuan di Jalan Transfer.
Oleh Hadzlihady Hassan

Georgetown: Helah seorang wanita Afrika menunaikan solat gagal mengaburi mata sepasukan anggota Jabatan Imigresen negeri yang melakukan serbuan di hotel murah di Jalan Transfer, di sini, kelmarin, apabila dia dikesan menawarkan khidmat seks di premis terbabit.

Dalam serbuan jam 9 malam itu, wanita berusia lingkungan 30-an berkenaan berpura-pura menunaikan solat ketika serbuan dilakukan namun pemeriksaan lanjut menemui beberapa kondom di dalam tong sampah di biliknya.

Selepas disoal, wanita terbabit gagal memberi jawapan munasabah mengenai penemuan kondom berkenaan dan dia akhirnya mengaku menjadi pelacur.

Penolong Pengarah Jabatan Imigresen negeri Abdul Rahman Hassan berkata, dalam serbuan itu lima wanita warga Nigeria dan dua wanita Uganda ditahan kerana didapati menjalankan aktiviti pelacuran di hotel murah terbabit.

Menurutnya, ketika serbuan, seorang berpura-pura menunaikan solat, dua lagi cuba melarikan diri namun berjaya ditahan manakala empat yang lain melayan pelanggan.

“Mereka ini dikesan menggunakan pas pelajar kolej di sekitar Lembah Klang namun datang ke negeri ini untuk menjadi pelacur dengan mengenakan bayaran tertentu.

“Kita sudah memantau perbuatan mereka ini sejak sebulan lalu selain turut mendapat maklumat daripada orang awam yang curiga dengan kehadiran golongan terbabit,” katanya.

Menurut Abdul Rahman, pihaknya juga menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti dalang di sebalik kegiatan pelacuran ini dan tidak menolak kemungkinan ia didalangi warga tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 Disember 2015 @ 9:12 AM