Kuala Lumpur: Datuk Seri Najib Razak menunaikan janjinya apabila berjaya mengurangkan hampir semua hutang syarikat bermasalah 1Malaysia Development Berhad (1MDB) mencecah RM40.4 bilion dalam tempoh enam bulan.

Perdana Menteri berkata, pelan rasionalisasi hutang 1MDB bakal selesai apabila syarikat itu menandatangani perjanjian jual beli saham untuk menjual 60 peratus pegangan Bandar Malaysia Sdn Bhd bernilai RM7.41 bilion kepada konsortium IWH-CREC Sdn Bhd, semalam.

“Jun lalu saya menjanjikan masalah dan cabaran 1MDB akan diselesaikan akhir tahun ini. Saya maklumkan bahawa syarikat ini sudah memeterai perjanjian baru, sekali gus berjaya mengurangkan jumlah hutang kira-kira RM40.4 bilion.

“Jumlah itu adalah majoriti daripada jumlah hutang 1MDB,” kata beliau melalui perutusan Tahun Baru 2016 dalam blog NajibRazak.com, semalam.

Hutang syarikat berkenaan adalah sebanyak RM42 bilion.

Najib berkata, dalam perjanjian terkini itu, konsortium terbabit adalah usaha sama 60:40 antara Iskandar Waterfront Holdings IWH (IWH) dan China Railway Engineering Corp (M) Sdn Bhd (CREC).

Kata beliau, ini jelas menunjukkan bahawa syarikat milik kerajaan itu berjaya mengatasi cabaran beban hutang berkenaan.

“Kini tiba masanya kita nantikan hasil siasatan dan mengambil pengajaran daripadanya seterusnya bersama-sama menuju masa depan dengan lebih membina.

“Walaupun siasatan masih dijalankan, masih ada yang membuat andaian awal bersandarkan tuduhan politik liar, kebocoran dan maklumat yang tidak lengkap yang akhirnya merosakkan nama baik dan ekonomi negara di mata dunia,” tegas beliau.

Mengenai cabaran tahun 2016, Perdana Menteri menegaskan, matlamat kerajaan ialah Malaysia kekal sebagai negara yang selamat, lebih makmur dan mewujudkan keadilan masyarakat yang bertambah baik.

Katanya, dalam usaha menuju tujuan berkenaan, kerajaan tidak akan teragak-agak bertindak tegas membuat sebarang keputusan yang perlu walaupun ia tidak popular kepada rakyat.

Perdana Menteri berkata, semua itu dilakukan demi melindungi rakyat daripada ancaman keganasan selain memelihara kesepaduan semua penduduk yang berbilang kaum.

“2016 bakal menjadi tahun yang meletakkan kita menuju masa depan dengan lebih yakin dan bersatu padu dengan syarat kita meletakkan di belakang segala peristiwa lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 January 2016 @ 9:43 AM