LEREN bersama pemenang yang turut merangkul anugerah.
Oleh Siti A’isyah Sukaimi
sitiaisyah@hmetro.com.my

Putrajaya: Personaliti menarik selain bijak dan lancar ketika melontarkan pandangan menjadi tuah buat gadis cantik dari Filipina, Leren Mae Bautista dianugerahkan sebagai Miss Tourism Queen of the Year International 2015/2016, sekali gus mengalahkan 56 peserta dari negara lain.

Leren Mae diumumkan sebagai pemenang pertandingan itu dalam majlis berprestij yang berlangsung di sebuah hotel terkenal di sini, malam kelmarin.

Kemenangan berkenaan membolehkan gadis berusia 22 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai RM10,000, tajaan biasiswa pengajian RM50,000 di Universiti Asia Metropolitan, mahkota, trofi dan selempang.

Pemakaian mahkota kepada Leren Mae disempurnakan oleh Miss Tourism Queen of the Year International 2014, Warangkanang Wutthayakorn.

Dia yang mempunyai ketinggian 173 sentimeter (cm) turut melahirkan rasa gembira serta tidak menyangka diumumkan sebagai pemenang pertandingan berkenaan.

Menurutnya, pertandingan itu turut membuka matanya mengenai dunia luar lebih-lebih lagi apabila dapat bertemu peserta dari negara lain.

“Biarpun kami semua adalah peserta pertandingan, saya langsung tidak menganggap ia persaingan atau perlumbaan antara sama sama lain kerana kami sudah diibaratkan seperti satu keluarga.

“Tidak pernah terlintas di fikiran untuk bersaing malah, kami sangat rapat dan saling membantu antara satu sama lain,” katanya pada sidang media di sini.

Hadir sama, Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab dan Presiden Miss Tourism International Tan Sri Danny Ooi.

Ditanya mengenai Malaysia, Leren Mae berkata, dia sangat teruja datang ke negara ini serta menyifatkan ia sebuah negara aman serta mempunyai masyarakat majmuk.

“Oleh kerana kepelbagaian kaum, budaya dan agama, saya banyak mempelajari adat serta budaya masyarakat di sini sekali gus pengalaman baru tidak dapat dilupakan.

“Saya berharap dapat kembali ke negara ini kerana berasa seronok dengan keramahan rakyat di sini,” katanya yang bercita-cita menjadi pramugari.

Pada majlis berkenaan, peserta dari Uganda iaitu Sheila Kirabo, 23, diumumkan pemenang Miss Tourism Metropolitan International manakala, Miss Tourism Global berjaya menjadi milik peserta dari Lithuania, Irmina Presegalaviciute, 19.

Seterusnya, Miss Tourism Cosmopolitan International disandang peserta Iceland, Tanje Yr Asthorstoddir, 23, manakala Dreamgirl of the Year International dinobatkan kepada peserta dari India, Chandi Sharma, 25.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 January 2016 @ 7:03 AM