PENDUDUK Kampung Pantai Kundur termasuk kanak-kanak bergotong-royong membina tembok pasir untuk mengelak hakisan pantai.
Oleh Hazira Ahmad Zaidi

Kota Bharu: Lima keluarga di Kampung Pantai Kundur di sini, tidak lena tidur berikutan kejadian hakisan pantai semakin menghampiri rumah didiami susulan fenomena air pasang besar.

Penduduk, Hanipah Omar, 53, berkata, mereka bimbang rumah dihanyutkan ombak ketika air pasang besar berlaku.

“Sebelum ini, jarak rumah saya dengan pantai 500 meter. Namun, sejak masalah hakisan pantai ini makin serius November lalu, jarak berkurangan kepada 200 meter.

“Saya bimbang masalah hakisan boleh menyebabkan rumah yang didiami lebih 30 tahun lalu lenyap ditelan laut,” katanya.

Menurutnya, dia bersama penduduk kampung bekerjasama meletakkan benteng pasir di sekeliling rumah dan pesisir pantai sepanjang 300 meter untuk mengelakkan kerosakan serta hakisan lebih teruk.

“Benteng penahan sementara ini dapat menghalang hakisan dan pada masa sama menyekat air daripada masuk ke dalam rumah,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Nik Abd Aziz Mamat, 61, berkata, beberapa kakitangan Pejabat Tanah Daerah Kota Bharu datang meninjau keadaan hakisan yang berlaku di penempatan itu sebelum ini.

“Mereka menyumbangkan lebih kurang 1,500 guni berisi dengan pasir untuk dijadikan benteng penahan ombak.

“Bagaimanapun, air pasang berlaku tiga hari lalu meruntuhkan sebahagian guni yang diletakkan di sepanjang pesisiran pantai,” katanya.

Menurutnya, ada penduduk mengambil inisiatif membeli guni kosong untuk diisi pasir.

“Sehubungan itu kami meminta pembinaan benteng penahan ombak di kawasan pantai ini disegerakan bagi mengelakkan masalah ini menjadi lebih teruk,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 January 2016 @ 5:16 AM