Ahmad Amirul Shahir Zulkifli bermain basikal di kawasan perlombongan bauksityang terletak kurang 200 meter dari perumahan di FELDA Bukit Goh.
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

Kuantan: Kuantan Port Consortium Sdn Bhd (KPC) mendakwa fenomena ‘laut merah’ yang dikesan di perairan antara Pantai Batu Balok dan Pantai Batu Hitam, dekat sini, pada minggu lalu di luar kawalan pihaknya.

Ketua Pegawai Operasinya Datuk Khasbullah A Kadir berkata, keadaan itu berlaku akibat hujan lebat berterusan selama lebih 24 jam sejak petang 27 Disember lalu.

Beliau berkata, pihaknya melakukan yang terbaik berhubung pengurusan kawasan simpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan.

“Namun, apabila hujan lebat sejak kebelakangan ini, kita tidak boleh melakukan apa-apa lagi. Kawasan lain seperti Balok bukan di bawah kuasa kita.

“Kita tidak ada komen mengenainya,” katanya.

Beliau diminta mengulas mengenai laporan media yang mendakwa stok penyimpanan bauksit di Pelabuhan Kuantan tidak diurus dengan baik dan dikatakan menjadi antara punca kejadian air laut di kawasan berkenaan bertukar kemerah-merahan.

Ahli Majlis Persatuan Pencinta Alam Malaysia Pahang Noor Jehan Abu Bakar berkata, hujan lebat berterusan menyebabkan limpahan air dari tapak simpanan bauksit memasuki Sungai Pengorak sebelum mengalir ke laut.

Dalam pada itu, Khasbullah dijangka mengadakan sidang media berhubung perkara itu di pejabatnya di Wisma KPC, Pelabuhan Kuantan, jam 11 pagi, hari ini.

Sebelum ini, akhbar melaporkan orang ramai dikejutkan fenomena ‘laut merah’ dikesan di persisir pantai dari Pantai Balok ke Pantai Batu Hitam, Selasa lalu.

Difahamkan, terdapat stok penyimpanan bauksit berhampiran Pelabuhan Kuantan tidak jauh dari kawasan perkampungan Sungai Pengorak, dekat sini.

Insiden itu mengulangi kejadian sama berlaku di sekitar Tanjung Gelang, dekat sini, Mei tahun lalu.

Sehubungan itu, pelbagai pihak mendesak pihak berkuasa menyiasat perkara terbabit dan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab menyebabkan masalah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:14 AM