MOHD Faiz kehilangan dua jari akibat tersepit di dalam mesin pemerah tebu di gerai bapanya di Sungai Lalang.
Oleh Nadzreen Shah Mat Salim

Semenyih: Seorang remaja lelaki terpaksa membatalkan hajat untuk meneruskan sesi persekolahan apabila jari telunjuk dan jari hantu di tangan kanan hancur selepas tersepit ke dalam mesin pemerah tebu di Jalan Sungai Lalang, di sini, kelmarin.

Sebelum kejadian, mangsa Mohd Faiz Bakri, 16, dikatakan membantu ayahnya memerah tebu di gerai makanan di sini, kira-kira jam 4 petang.

Mohd Faiz berkata, ketika kejadian dia sedang memasukkan tebu ke dalam mesin pemerah berkenaan dan tidak menyedari jarinya termasuk di dalam mesin pemerah tebu.

“Ketika itu saya sedang memasukkan tebu ke dalam mesin, secara tiba-tiba jari tangan kanan saya tersekat dan termasuk ke dalam mesin pemerah tebu berkenaan.

“Saya cuba untuk mengeluarkan jari, namun tidak berjaya. Saya menjadi panik ketika itu dan hanya mampu menjerit memanggil ayah dan sempat bertindak mematikan suis mesin berkenaan,” katanya ketika ditemui di Hospital Kuala Lumpur, di sini, semalam.

Menurutnya, kejadian itu turut merencatkan sesi persekolahannya yang akan bermula esok (hari ini) dan dia perlu berehat sehingga dibenarkan pulang.

“Esok dah mula sekolah, saya pula terpaksa terlantar di sini. Saya tidak mahu ketinggalan semua mata pelajaran di sekolah,” katanya.

Bapa mangsa, Bakri Bakar, 46, berkata, ketika kejadian dia sedang mengambil pesanan makanan dari pelanggan sebelum terdengar jeritan anaknya.

“Saya berlari ke arah Faiz dan mendapati jari tangannya tersekat di dalam mesin berkenaan.

“Faiz kelihatan tenang semasa kejadian walaupun jarinya masih tersekat di dalam mesin.

“Ketika saya membuka penutup mesin berkenaan saya mendapati jari telunjuk dan jari hantu Faiz sudah hancur,” katanya.

Katanya, berikutan itu, dia membawa anaknya ke Hospital Kajang dengan bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 January 2016 @ 8:42 AM