Tertuduh (tengah) yang terbabit dalam kes memenggal kepala seorang lelaki tahun lalu dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Slim River.
Tertuduh (tengah) yang terbabit dalam kes memenggal kepala seorang lelaki tahun lalu dibawa keluar dari Mahkamah Majistret Slim River.

Slim River: Mahkamah Majistret, di sini, semalam, menetapkan 5 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes seorang pemandu lori yang dipercayai memenggal kepala seorang pekerja kedai barang lusuh, November lalu.

Tarikh berkenaan ditetapkan Majistret Syahdatul Kamilah Zakaria selepas permohonan Pegawai Pendakwa, Wilson Noheck untuk menunggu laporan bedah siasat.

Mengikut pertuduhan, Muhamad Naji Saad, 36, didakwa membunuh K Ganesan, 50, di tepi jalan Kampung Batu 4, Jalan Persekutuan Ipoh-Kuala Lumpur, arah Slim River, daerah Muallim, di sini, kira-kira jam 2.30 pagi pada 13 November lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Terdahulu, mahkamah dimaklumkan oleh peguamnya, Hatim Musa bahawa anak guamnya memerlukan pemantauan dan pemeriksaan mental.

Ini kerana tertuduh pernah mengalami kemalangan pada September lalu hingga lori dipandunya musnah manakala berlaku hentakan pada kepala dan belakang tertuduh, namun tidak dapat dipastikan sama ada proses imbasan ada dilakukan pada bahagian kecederaan berkenaan.

Selain itu, mahkamah turut dimaklumkan tiga adik-beradik lelaki tertuduh turut menjalani rawatan mental.

Harian Metro sebelum ini melaporkan, mayat Ganesan ditemui tanpa kepala di dalam longkang di Jalan Kampung Batu 4.

Susulan penemuan itu, polis memberkas seorang pemandu lori di sebuah rumah di Kampung Air Jada, Gerik bersama satu bungkusan yang mengandungi kepala manusia dipercayai kepala mangsa.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 January 2016 @ 5:03 AM