Mohamad Zabidi (dua dari kanan) melihat orang ramai mengambil nombor giliran di kaunter 1Serve di UTC Keramat.

Kuala Lumpur: Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) merancang untuk mewujudkan kaunter perkhidmatan 1 Malaysia Customer Service of Civil Servants (1Serve) bagi setiap agensinya di seluruh negara.

Langkah proaktif itu bertujuan memberikan perkhidmatan awam terbaik, cepat dan selesa kepada rakyat.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal berkata, 1Serve adalah inisiatif transformasi kerajaan melalui pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS) bertujuan meningkatkan tahap kepuasan pelanggan dan sistem penyampaian petugas barisan depan di sektor awam.

Beliau berkata, ia berfungsi sebagai program merakyatkan perkhidmatan awam dengan turun ke bawah kepada mereka yang memerlukan.

“Kita berunding dengan agensi kerajaan lain di peringkat negeri untuk melaksanakan 1Serve ini. Kalau boleh semua yang ada kaunter perkhidmatan akan ada kaunter 1Serve.

“Inisiatif ini diadakan berterusan sepanjang tahun secara berperingkat.

“Selepas ini misalnya, kita akan bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi menyediakan kaunter 1Serve untuk perkhidmatan pencen JPA di beberapa lokasi,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Kaunter 1Serve di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Mini di kompleks perniagaan Keramat Mall, di sini, semalam.

Hadir sama, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafa Ibrahim dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abd Aziz.

Menurut Mohamad Zabidi, pelancaran kaunter ini melakar sejarah apabila buat julung kali digabungkan kaunter perkhidmatan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan kaunter Jabatan Imigresen (JIM).

“Sebelum ini, hanya di JPA (Putrajaya) dan selepas ini kita akan buka di Jabatan Imigresen di Shah Alam pula. UTC Keramat dipilih sebagai agensi perintis dalam merealisasikan hasrat mewujudkan satu kaunter pelbagai perkhidmatan menerusi gabungan kaunter JPN dan JIM,” katanya.

Katanya, 60 kakitangan bertugas di kaunter JPN dan JIM memberikan pelbagai perkhidmatan kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 6:00 AM