NIK Nur Amni dipegang bapanya, Nik Mohd Hafizi ketika dikunjungi Shahaniza (dua dari kanan).

Kuantan: Ada sinar buat kanak-kanak yang menghidap Biliary Atresia atau kegagalan fungsi hati, Nik Nur Amni Rania Nik Mohd Hafizi apabila dia akan ke New Delhi, India minggu depan untuk menjalani pembedahan selepas mengumpul sumbangan kira-kira RM359,000, baru-baru ini.

Kanak-kanak berusia setahun empat bulan itu menderita penyakit itu ketika berusia dua minggu menyebabkan perutnya semakin membesar dan rawatan terbaik ialah pembedahan pemindahan hati.

Bapanya, Nik Mohd Hafizi Nik Mat, 28, berkata, Nik Nur Amni Rania akan menjalani pembedahan di Hospital Apollo bagi mendapatkan hati baru yang didermakan ibunya, Aini Azura Ruslan, 25.

Dia bersyukur dan berterima kasih kepada rakyat negara ini, badan bukan kerajaan (NGO) dan Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob yang menyumbang dana buat anak sulungnya.

“Sejak kisah Rania keluar di media, kami banyak mendapat sumbangan daripada pelbagai pihak, malah Menteri Besar (Datuk Seri Adnan Yaakob) turut bermurah hati sehingga kami dapat mengumpul RM120,000.

“Majikan saya Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut menyumbangkan RM239,000, wang sumbangan terkumpul itu mencukupi untuk kami membawa Rania menjalani pembedahan di India,” katanya ditemui selepas menerima sumbangan daripada Adnan yang disampaikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Pahang, Datuk Shahaniza Shamsuddin di rumahnya di Kampung Pandan 1, sini, semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 January 2016 @ 6:10 AM